Kerajaan perlu melakukan beberapa perubahan dasar bagi meningkatkan lagi kedudukan sosioekonomi masyarakat India di negara ini.

Permintaan Presiden MIC, Datuk Seri Dr S. Subramaniam itu antara lain mahu Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia (MIB) dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.

"Walaupun setiap pelan tindakan telah digariskan dengan sewajarnya, namun ianya hanya boleh dilaksanakan jika adanya perubahan polisi di peringkat kerajaan.

"Objektif serta matlamat yang digariskan MIB hanya boleh dicapai sekiranya birokrasi kerajaan atau dasar dan polisi memberi ruang pelaksanaan dengan sepenuhnya," katanya

Katanya, pindaan dasar dilihat mampu menggalakkan sektor industri kecil dan sederhana (IKS) dalam kalangan pengusaha India.

Malah, katanya usaha untuk meningkatkan tujuh peratus penyertaan kaum India dalam sektor perkhidmatan awam hanya akan menjadi realiti jika usaha proaktif dijalankan bagi mencapai sasaran itu.

“Saya mengemukakan cadangan supaya Dana Modal Pusingan sebanyak RM500 juta diwujudkan agar memberi keyakinan kepada peniaga dan pengusaha India untuk memperluaskan perniagaan,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung MIC ke-71 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Beliau juga kemukakan cadangan supaya mewujudkan Tabung Pendidikan Sampingan untuk menampung kos pendidikan pelajar yang datang daripada keluarga miskin.

Mengenai isu taraf kewarganegaraan kepada mereka yang lahir sebelum 1957, katanya pindaan polisi perlu dibuat bagi menyelesaikan isu tersebut dalam mendapatkan kewarganegaraan untuk segelintir masyarakat India yang belum dapat menikmati taraf kewarganegaraan.