PAKATAN Harapan (Harapan) melalui Amanah diramal akan menang dengan majoriti yang sedikit di kerusi Parlimen Kota Raja sekiranya mempertaruhkan Presiden Amanah, Mohamad Sabu atau lebih dikenali Mat Sabu di kerusi berkenaan.

Mat Sabu sebelum ini mengesahkan bakal bertanding di Selangor dan sumber Amanah memaklumkan beliau calon di kerusi berkenaan pada PRU14 nanti.

Mat Sabu yang diketahui umum ditolak pengundi Melayu selepas kecederungannya yang pro-DAP menjadi antara penyebab beliau kemungkinan akan ditolak pengundi-pengundi Melayu di Parlimen Kota Raja.

Tindakannya yang kuat mengecam Tun Dr Mahathir Mohamad menimbulkan kemarahan pengundi Melayu pada PRU lalu.

Buktinya, bekas Timbalan Presiden Pas itu tewas dengan majoriti 2,638 undi kepada calon BN, Datuk Othman Abdul di kerusi Parlimen Pendang, Kedah. Majoriti pengundi di Parlimen itu adalah Melayu.

Beliau juga dilabelkan sebagai ‘talam dua muka’ apabila kini sanggup duduk bersama Mahathir yang dahulunya dilabelkan sebagai 'Maha Firaun’ demi mengejar cita-cita dan matlamatnya dalam Harapan.

Tindakan beliau keluar daripada Pas dan menubuhkan Amanah ternyata membuatkan pengundi Melayu turut memandang rendah kepada beliau kerana tidak mempunyai perjuangan yang tetap dan jelas, sebaliknya atas dasar kekecewaan kepada Pas, beliau menubuhkan parti yang didakwa pro-DAP.

Sumber diterima Sinar Harian rata-rata penyokong Harapan menolak Mat Sabu sebagai calon di Parlimen itu sebaliknya mereka berkehendakkan Siti Mariah Mahmud terus menyandang kerusi berkenaan.

Situasi berlainan akan dilihat jika Siti Mariah dikekalkan sebagai calon di kerusi berkenaan di mana peluang untuk mendapatkan undi majoriti lebih tinggi kerana beliau sudah dikenali di kawasan berkenaan sejak menyandang kerusi itu selama dua penggal.

Pengamatan mendapati Amanah melalui Siti Mariah juga bakal menang atas sokongan kuat pengundi bukan Melayu.

Berbeza dengan pengundi Melayu yang lebih cenderung kepada BN atau Pas.

Sejarah Amanah sebagai parti serpihan Pas dan ditubuhkan atas dasar kecewa dengan Pas adalah salah satu faktor mereka kurang mendapat sokongan pengundi Melayu berbanding parti lain yang ditubuhkan atas dasar atau mempunyai matlamat yang jelas.

Namun harus diambil kira persempadanan semula kawasan Parlimen Kota Raja juga dilihat memberi kelebihan kepada Harapan apabila berlaku pertambahan pengundi bukan Melayu khususnya di kawasan Bukit Tinggi ke dalam Parlimen Kota Raja.

Jika pengundi bukan Melayu, Cina (18 peratus) dan India (36 peratus) bergabung memberikan undi kepada calon Harapan itu, ia sudah cukup berbanding undi Melayu hanya (46 peratus). Perlu dilihat undi Melayu pula akan terbahagi kepada tiga iaitu Pas, BN dan Harapan.

Namun sumber terbaru yang diterima, Siti Mariah dikatakan bakal bertanding di kerusi Dun Seri Serdang. Jadi mungkinkah Parlimen Kota Raja kini sah milik Presiden Amanah, Mohamad Sabu?