Pakatan Harapan bercadang untuk mengadakan jelajah seluruh negara bagi memperjelaskan isu berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang akan berakhir dengan sebuah 'perhimpunan rakyat' pada bulan September nanti.

Namun, Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata tempat dan waktu perhimpunan tersebut masih berada di peringkat perbincangan.

"Setakat ini tema atau 'tagline' yang dipersetujui ialah 'Sayang Malaysia, Hapuskan Kleptokrat'.

"Kita akan mulakan jelajah ini di Kepala Batas pada 6 Julai ini di Dewan JKKK Penaga, Kepala Batas pada jam 9 malam," kata Dr Wan Azizah dalam satu sidang media di pejabat Ketua Pembangkang di Menara Parlimen hari ini.