Teka-teki siapa yang bakal dipilih menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan Ke-11 akan ditentukan sedikit masa lagi.

Menurut Presiden Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Aminuddin Harun yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat berkata senarai nama mereka yang layak mengisi jawatan tersebut telah dipersembah kepada Yang Dipertuan Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir pada petang Khamis.

"Saya adalah individu terakhir yang bertemu dengan Tuanku Muhriz dan saya telah menyerahkan senarai nama tersebut. Dalam pertemuan itu Tuanku berkenan menerima dan akan mempertimbang senarai yang diberikan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Seramai 20 pemimpin PH Negeri Sembilan telah mengadap Tuanku Muhriz bermula jam 2.45 petang.

Tambah Aminuddin, kesemua pemimpin tertinggi PH negeri dikatakan sepakat menamakan beliau sebagai menteri besar yang baharu.

Bagaimanapun, kata beliau, keputusan itu diserahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan Tuanku Muhriz sebelum memberi perkenan.

Ditanya samada ia akan diumumkan sebelum bulan Ramadan, Aminuddin berkata ia terpulang kepada keputusan yang dibuat Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.

"Sebelum ini pernah berlaku keputusan dibuat sehingga seminggu," katanya.

Jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan sebelum ini disandang Datuk Seri Mohamad Hasan selaku Menteri Besar ke-10.

PH Negeri Sembilan berjaya menawan negeri itu daripada BN buat pertama kali dalam sejarah selepas menang 20 kerusi yang diwakili komponen daripada DAP, PKR dan Amanah.

DAP mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah, Lobak, Nilai, Temiang, Rahang, Seremban Jaya, Lukut, Bukit Kepayang, Mambau dan Repah.

PKR menang di DUN Sikamat, Ampangan, Chuah, Seri Tanjung dan Pilah manakala Amanah pula menang di Paroi, Klawang dan Lenggeng.