Tiada peruntukan khusus dalam Perlembagaan UMNO yang mewajibkan mana-mana ahli untuk mengisytiharkan harta bagi melayakkan diri bertanding mana-mana jawatan dalam pemilihan parti.

Menurut Penasihat Undang-Undang UMNO Datuk Hafarizam Harun, sebarang pengisytiharan yang dibuat mana-mana inidividu yang bertanding adalah atas dasar sukarela.

"Jadi, usul pengisytiharan harta tersebut, dari segi undang-undang adalah ex abundanti cautela, dalam Bahasa Latin atau dalam Bahasa Inggerisnya adalah in excess of caution.

"Dengan kata lain, mana-mana calon yang ingin mendokong aspirasi integriti dan menunjukkan bahawa UMNO merupakan parti yang telus dan terbuka boleh membuat pengisytiharan harta.

"Namun, jika mereka tidak berbuat demikian, mereka tidak hilang kelayakan daripada bertanding dalam pemilihan parti hujung bulan ini," kata Hafarizam kepada Astro AWANI.

Selain itu, tambah beliau, sekiranya peruntukan untuk mewajibkan pengisytiharan harta ingin dimasukkan dalam Perlembagaan UMNO, usul tersebut perlu dikemukakan ketika Mesyuarat Agung Tahunan atau Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM).