Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mengakui prestasi UMNO kini sangat teruk namun katanya tidak perlu sampai ahli keluar parti.

Beliau berkata, sepatutnya ahli UMNO sendiri yang perlu mencari jalan untuk memperbaiki imej parti supaya kembali mendapat kepercayaan rakyat.

“UMNO tak ada nyawa... baik buruk adalah kerana pemimpin dan ahlinya.

“Jalan mudah (ialah) cabut lari tetapi itu bukan boleh perbaiki UMNO. Ikhtiarlah,” kata Ketua Umno Bahagian Padang Rengas itu ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

BACA: Prestasi UMNO semakin buruk, KJ akui hampir menangis!

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai pengakuan bekas Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin yang hampir menangis apabila mendapat tahu Ahli Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed keluar parti.

Khairy membuat pengakuan tersebut menerusi rancangan 'The Breakfast Grille' yang disiarkan BFM semalam

Khairy dalam rancangan tersebut bersetuju dengan bekas pemimpin UMNO itu bahawa parti itu berdepan dengan defisit kepercayaan dalam kalangan rakyat.