Atlet negara perlu lebih berani dan cekal untuk meletakkan sasaran lebih tinggi ke arah memburu pingat emas pertama Malaysia pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Insitut Sukan Negara (ISN) Dr Khairi Zawi berkata atlet mesti mencabar keupayaan diri sendiri bagi membolehkan mereka melepasi tahap pencapaian semasa dan bukan hanya menetapkan 'sasaran selamat'.

"Atlet kita bukan tidak kuat dari segi mental, cuma mereka tidak pernah mencabar diri untuk letak sasaran lebih tinggi. Mereka takut gagal dan menghadapi kritikan.

"Ambil contoh di Rio, untuk berada di sana sudah membuktikan kekuatan mental mereka setanding dengan jaguh dunia lain. Yang membezakan mereka adalah keinginan untuk menang atau tidak," katanya ketika ditemui Bernama.

Selain daripada atlet, beliau berkata masyarakat juga perlu berani letak sasaran dan bersedia menerima kegagalan, bukannya apabila berlaku kekalahan, masyarakat menuding jari menyalahkan atlet dan jurulatih.

Khairi berkata selain kekuatan mental yang menjadi punca utama dalam merealisasikan impian seluruh warga sukan dan peminat tanah air, sikap dahagakan kemenangan perlu dipupuk sejak awal lagi.

Katanya, atlet seperti ratu skuasy negara Datuk Nicol David boleh menjadi ikon yang telah pun membuktikan sikap dahagakan kemenangan apabila beliau sanggup berlatih hingga ke luar negara dan dinobatkan antara 20 atlet terbaik
sepanjang zaman.

Nicol menduduki takhta nombor satu dunia paling lama iaitu selama 108 bulan sejak Ogos 2006.

"Atlet yang berjaya tidak semestinya mereka yang sentiasa menang dalam setiap penyertaan tetapi mereka yang mampu bangkit daripada kekalahan lepas dan membuat prestasi lebih bagus.

"Macam Usain Bolt (pelari dari Jamaica) dan Lin Dan (pemain badminton dari China), tidak semua kejohanan dia jadi juara. Biasanya mereka akan menonjol di kejohanan besar seperti Kejohanan Dunia dan Sukan Olimpik," katanya.

Dalam pada itu, Khairi berkata walaupun kekuatan mental perlu datang daripada diri atlet itu sendiri namun pihak ISN boleh membantu mereka dalam menjayakan sasaran mereka.

Katanya, kebiasaannya pihak persatuan akan meletakkan sasaran berdasarkan prestasi semasa atlet manakala ISN pula bertindak sebagai pemacu kepada sasaran itu.

Sementara itu, mengenai pencapaian pada Olimpik Rio baru-baru ini apabila kontinjen negara meraih empat pingat perak dan satu gangsa, Khairi berkata keputusan yang diperoleh itu sesuatu di luar jangkaan.

"Kempen di Rio adalah yang terbaik sepanjang penyertaan Malaysia di Sukan Olimpik di mana kita sasar tiga atlet sahaja akan membawa balik pingat tapi kita dapat lima butir pingat keseluruhan.

"Dengan jumlah kontinjen yang kecil, 32 atlet, kita dapat lima pingat... ia satu nisbah yang besar walaupun tanpa kilauan emas," katanya.

Di Rio, empat pingat perak dimenangi dalam acara badminton menerusi jaguh perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei, beregu lelaki Goh V Shem/Tan Wee Kiong, beregu campuran Chan Peng Soon/Goh Liu Ying dan gandingan penerjun Pandelela Rinong/Cheong Jun Hoong manakala gangsa melalui pelumba berbasikal trek, Mohd Azizulhasni Awang.