KUALA LUMPUR: Pasaran harta tanah Malaysia merekodkan penurunan aktiviti sebanyak 5.7 peratus dalam suku pertama 2023 dengan lebih daripada 89,000 transaksi bernilai RM42.31 bilion berbanding tempoh sama tahun lepas, kata Kementerian Kewangan (MOF).

Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta MOF menyatakan jumlah transaksi bagi suku pertama 2023, bagaimanapun meningkat sedikit sebanyak 0.8 peratus.

"Penurunan aktiviti di subsektor harta tanah kediaman dan pertanian masing-masing pada kadar 6.6 peratus dan 12.5 peratus berbanding tahun lepas, memberi kesan ke atas prestasi pasaran harta tanah secara keseluruhan.

"Namun, penurunan ini diimbangi oleh peningkatan aktiviti di subsektor perdagangan dan tanah pembangunan yang masing-masing meningkat 14.5 peratus dan 2.8 peratus dalam bilangan serta 22.1 peratus dan 30.4 peratus dari segi nilai," katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut NAPIC, Indeks Harga Rumah Malaysia (IHRM) berada pada 210.1 mata (RM453,365 seunit) dalam suku pertama 2023 dengan pertumbuhan tahunan marginal sebanyak 2.0 peratus yang hampir menyamai tempoh prapandemik.

Pertumbuhan di semua negeri kecuali Sarawak antara 0.4 peratus hingga 5.8 peratus telah menstabilkan indeks harga rumah secara keseluruhan.

"Indeks Harga Unit Bertingkat Tinggi merekodkan pertumbuhan tahunan 5.3 peratus, disokong oleh kenaikan dua angka di kawasan Petaling (Selangor) dan bahagian pulau (Pulau Pinang).

"Pertumbuhan Indeks Harga Rumah Teres adalah 2.3 peratus manakala Indeks Harga Rumah Sesebuah dan Indeks Harga Rumah Berkembar mencatat penurunan kecil masing-masing pada 2.2 peratus dan 0.2 peratus," katanya.

Dalam pada itu, NAPIC berkata bilangan kediaman siap dibina tidak terjual menurun kepada 26,872 unit bernilai RM18.31 bilion pada suku pertama 2023, kesan daripada serapan pasaran di kesemua negeri kecuali Selangor.

"Bilangan dan nilai kediaman siap dibina tidak terjual menurun masing-masing sebanyak 3.2 peratus dan 0.5 peratus berbanding suku keempat 2022.

"Segmen pangsapuri khidmat juga menyaksikan penurunan marginal bilangan dan nilai siap dibina tidak terjual sebanyak 3.0 peratus setiap satu kepada 23,267 unit bernilai RM19.59 bilion," katanya.

Selain itu, NAPIC berkata peningkatan kadar dasar semalaman (OPR) secara beransur-ansur sejak Mei 2022 juga dijangka akan memberi kesan kepada aktiviti pasaran harta tanah, khususnya dari segi permintaan kediaman.

"Di samping itu, prospek tenaga kerja di sektor pembinaan dan kenaikan harga binaan akan turut memberi kesan kepada penawaran.

"Perkembangan ekonomi dan kewangan negara adalah faktor dalaman yang akan memberi kesan kepada sektor harta tanah serta sentimen penggiat industri selain faktor luaran seperti situasi kewangan dan ekonomi global," katanya.

-- BERNAMA