KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadang menubuhkan dana kekayaan negara sebagai langkah untuk menambah baik ketelusan dan akauntabiliti sumber pendapatan negara terutamanya dalam sektor minyak dan gas, kata bekas menteri kewangan Lim Guan Eng.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata langkah itu lebih baik daripada cadangan untuk menyenaraikan tawaran awam permulaan (IPO) Petroliam Nasional Bhd (Petronas).

Mengambil contoh inisiatif dilaksanakan Norway yang mewujudkan Dana Pencen Kerajaan, katanya penubuhan dana sedemikian antara kaedah yang boleh dilaksanakan oleh kerajaan untuk memberi manfaat kepada rakyat.

"Modul ini sangat relevan untuk Petronas kerana ia mempunyai banyak persamaan dengan syarikat tersebut (syarikat minyak nasional).

"Seperti Petronas, dana itu merupakan entiti kerajaan yang mempunyai mandat jangka panjang dalam menguruskan kekayaan daripada sektor minyak dan gas.

"Malaysia mempunyai hutang RM1.5 trilion tetapi dana pencen Norway mempunyai aset lebih US$1 trilion.

"Tujuan utama dana ini ialah untuk membantu kerajaan Norway memastikan semua rakyat mereka mendapat manfaat daripada dana pencen tersebut," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat semalam.

Dana Pencen Kerajaan Norway terdiri daripada dua dana kekayaan kerajaan yang berasingan sepenuhnya, dimiliki oleh kerajaan Norway.

Antaranya, Dana Pencen Kerajaan Global, juga dikenali sebagai Dana Minyak, telah ditubuhkan pada 1990 untuk melabur hasil lebihan sektor petroleum Norway.

Ia mempunyai lebih US$1.19 trilion aset dan memegang 1.4 peratus daripada semua syarikat tersenarai di dunia, menjadikannya antara dana kekayaan negara terbesar di dunia.

Lim berkata cadangan supaya kerajaan menyenaraikan IPO Petronas ke Bursa Malaysia bagi membantu mengurangkan hutang negara adalah tidak wajar.

Katanya Petronas adalah khazanah negara yang harus dimiliki oleh rakyat secara langsung dan menggunakan syarikat itu untuk melangsaikan hutang kerajaan sebenarnya mengalihkan kebertanggungjawaban mereka yang membuat pinjaman.

"Oleh itu, kerajaan Persekutuan harus membereskan hutang dengan sendiri dan bukannya bergantung kepada Petronas untuk berbuat demikian.

"Sama ada IPO atau pengapungan 20 peratus saham Petronas akan mengumpul dana sebanyak RM300 bilion atau membolehkan syarikat itu menambah pendapatan harus dipertikaikan memandangkan IPO serupa untuk syarikat minyak di Arab Saudi, Aramco nampaknya kurang berjaya," katanya.

-- BERNAMA