Kerajaan negeri Perak berjaya mencatatkan pendapatan berjumlah lebih RM1 bilion pada tahun 2016.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, Perak sebelum ini tidak pernah mencatatkan pendapatan setinggi itu sekaligus mencipta sejarah negeri.

“Dari segi lebihan pula kita mencatatkan sekitar RM4 juta daripada bajet yang kita bentangkan untuk tahun 2016.

“Ianya merupakan kejayaan yang mustahil memandangkan kedudukan negeri dengan keadaan ekonomi dan prestasi sektor-sektor yang tidak menentu pada tahu lalu namun kita berjaya mengharunginya,” katanya dalam sidang media selepas majlis Executive Talk dan Perutusan Tahun Baru 2017 di sini pada hari ini.

Tambah beliau salah satu faktor menyumbang kepada pendapatan tinggi itu adalah hasil tanah dan kutipan cukai yang telah dibuat.

“Kakitangan awam kita telah berkerja dengan berkesan dalam mengumpul premium tanah. Ini dapat dilihat dengan data menunjukkan semua daerah mencatatkan lebih daripada 90 peratus kadar kutipan.

“Ini ditambah pula dengan orang awam yang semakin bertanggungjawab membayar apa sepatutnya bagi tanah yang dimiliki, jumlah cukai tanah yang tertunggak juga telah menurun,” jelas beliau.

Justeru beliau memberitahu kejayaan tersebut merupakan usaha dan kegigihan kesemua kakitangan awam kerajaan negeri.

“Ianya berdasarkan pelan jangka panjang yang telah kita rangka dan disulam dengan kegigihan kesemua kakitangan awam.

“Ini bukanlah kejayaan individu atau kejayaan Dr Zambry semata-mata tetapi ianya kejayaan semua, tahniah,” jelas beliau.

Pada 2015 lalu Menteri Besar telah membentangkan bajet 2016 dengan peruntukkan berjumlah RM1.04 bilion dengan tujuh fokus utama.

Daripada jumlah itu, RM691.38 juta dianggarkan untuk perbelanjaan mengurus manakala peruntukan pembangunan pula sebanyak RM397.44 juta.