ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang Khamis, 25 Februari 2021.

1) Thailand terima bekalan pertama vaksin China

Thailand menerima kumpulan pertama 200,000 dos vaksin Sinovac keluaran China dengan Perdana Menteri, Prayuth Chan o-Cha akan menjadi individu pertama disuntik diikuti petugas barisan hadapan dan golongan mudah terjejas.

2) Penggunaan domestik kekal terajui kestabilan ekonomi China

Kestabilan ekonomi China terus disumbang penggunaan domestik yang mencecah nilai AS$6 trilion atau RM24.2 trilion pada 2020 sekali gus menyumbang 54.3 peratus kepada KDNK.

3) PM Armenia beri amaran cubaan rampasan kuasa oleh tentera

Perdana Menteri Armenia, Nikol Pashinyan memberi amaran keras kepada cubaan rampasan kuasa yang dilakukan tentera untuk menggulingkan kerajaan pimpinannya.

4) China benarkan paras pencemaran udara lebih tinggi 'sedikit' tahun ini

Sasaran kualiti udara China pada tahun ini dilaraskan pada paras yang lebih tinggi berbanding paras purata tahun lalu, ujar pegawai rasmi kerajaan pada Khamis.

5) Lombong emas haram runtuh di Sulawesi Tengah, misi menyelamat mangsa dipergiat

Pasukan penyelamat di wilayah Sulawesi Tengah, Indonesia terus menggiatkan usaha mencari saki-baki mangsa tragedi tanah runtuh yang berlaku pada Rabu lalu, di sebuah kawasan lombong emas haram.

6) Filipina bakal terima dos vaksin pertama, program vaksinasi bermula minggu depan

Filipina bakal menerima bekalan pertama vaksin COVID-19 pada hujung minggu ini bagi membolehkan program imunisasi negara itu dimulakan pada minggu depan, lapor Reuters.

7) Australia lulus undang-undang wajibkan Google, Facebook bayar kandungan berita

Parlimen Australia pada Khamis meluluskan undang-undang kuasa rundingan platform digital dan syarikat berita yang akan mewajibkan Google dan Facebook membayar syarikat media untuk sebarang kandungannya.

8) COVID-19: Kru kapal dari Malaysia antara enam kes import baharu di Singapura

Seorang lelaki warga Malaysia berusia 51 tahun merupakan antara enam kes import baharu COVID-19 dilaporkan di Singapura pada Rabu, menurut Kementerian Kesihatan republik itu.

9) Pakej Pemulihan | UK umum 302 juta pound bantu pelajar 'hilang pembelajaran'

United Kingdom umum pakej pemulihan bernilai 302 juta pound untuk diberikan kepada semua sekolah di seluruh negara susulan bermulanya sesi secara bersemuka 8 Mac ini. Setiausaha Pendidikan UK, Gavin Williamson berkata, dana itu akan diberikan kepada sekolah rendah dan menengah untuk memabantu pelajar yang dikatakan 'kehilangan pembelajaran' semasa 'lockdown' dikuatkuasakan.

10) Woods mula sedar, beri respon

TIGER Woods sudah 'sedar, responsif dan pulih' berikut prosedur pembedahan yang panjang pada kaki kanan dan pergelangan kaki selepas kemalangan kereta yang hampir membawa maut semalam.