ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang Khamis, 3 Februari 2022.

1. Singapura luluskan rawatan oral pertama untuk COVID-19

Singapura meluluskan PAXLOVID Pfizer sebagai ubat pil pertama untuk rawatan COVID-19 dengan gejala ringan hingga sederhana bagi pesakit dewasa yang berisiko tinggi.

2. ASEAN seru semua pihak di Myanmar usahakan persekitaran kondusif untuk sesi dialog

Blok negara-negara Asia Tenggara itu juga menggariskan kepentingan menghentikan serta-merta keganasan, serta memastikan bantuan kemanusiaan selamat tiba pada masa yang tepat.

3. COVID-19 | New Zealand rancang tamatkan keperluan kuarantin

Warga New Zealand menyambut baik pengumuman kerajaan pada Khamis bagi menamatkan keperluan kuarantin untuk pelancong dan membuka semula sempadannya. Perubahan tersebut juga bakal membolehkan ribuan rakyat negara itu yang kini berada di luar untuk pulang ke tanah air.

4. COVID-19 | Korea Selatan terus catat peningkatan kes

Kes positif COVID-19 di Korea Selatan terus catat peningkatan selepas 22,907 kes dilaporkan pada Khamis. Ia merupakan hari kedua selepas negara itu merekodkan peningkatan lebih 20,000 kes bermula Rabu.

5. Jet pejuang UK 'pintas, iringi' 4 pesawat Rusia berhampiran Scotland

Jet pejuang Tentera Udara Diraja Britain (RAF) pada Rabu "memintas dan mengiringi" empat pesawat tentera Rusia keluar dari kawasan kepentingan United Kingdom di luar pesisir pantai Scotland.

6. "Pergi, keluar..." - Perompak lari lintang-pukang selepas ditengking oleh wanita

Kejadian pada waktu tengah hari itu menyaksikan detik-detik mendebarkan selepas pelanggan wanita itu dilihat melawan suspek lelaki yang cuba merompak kedai berkenaan.

7. PM Belanda mahu keadilan terhadap mangsa MH17

Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte menggesa diadakan sidang dialog bagi mengendurkan krisis dengan Rusia semasa lawatan ke ibu negara Ukraine, di mana beliau menegaskan sekali lagi azamnya bagi memastikan keadilan untuk keluarga mangsa pesawat Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh di negara itu pada 2014.

8. 9.96 bilion dos vaksin COVID-19 didaftar di seluruh dunia

Jumlah dos vaksin COVID-19 yang didaftar atau disuntik di seluruh dunia berjumlah lebih 9.96 bilion sehingga pagi Khamis. Data juga mendedahkan, China mendahului dengan lebih 2.87 bilion dos vaksin yang sudah didaftarkan.

9. COVID-19 | Kes harian di Tokyo lepasi 20,000 buat pertama kali

Kes harian COVID-19 di Tokyo mencecah angka 20,000 buat pertama kali pada Rabu. Ia sekali gus menyaksikan gelombang baharu peningkatan kes di Jepun susulan penularan varian Omicron.

10. Ribut Musim Sejuk | Ribuan penerbangan di Amerika Syarikat dibatalkan

Ribut musim sejuk di beberapa kawasan di bahagian tengah Amerika Syarikat membawa bersama hujan dan salji. Ia meliputi negeri seperti Oklahoma, Kansas, Missouri, Illinois, Indiana dan Michigan yang memaksa ribuan penerbangan dibatalkan.