ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang Rabu, 23 Februari 2022.

1. Thailand longgarkan lagi syarat perjalanan pelancong asing

Ia bagi mengurangkan kos dan memudahkan perjalanan meskipun kes COVID-19 terus meningkat di negara itu.

2. Majlis Keselamatan Ukraine lulus pelan isytihar darurat

Keadaan darurat akan berlangsung selama 30 hari dan boleh dilanjutkan selama 30 hari lagi.

3. Krisis Ukraine-Rusia | Warga Ukraine di Rusia digesa keluar segera

Ukraine memberi amaran kepada rakyatnya supaya meninggalkan Rusia secepat mungkin. Dalam satu notis pada Rabu, Kementerian Luar Ukraine berkata, amaran itu dikeluarkan berikutan pencerobohan Rusia terhadap Ukraine yang semakin serius.

4. Jepun pertimbang langkah baharu jika krisis Ukraine makin buruk

Jepun akan mempertimbangkan langkah baharu untuk diterima pakai sekiranya keadaan di Ukraine kian meruncing.  Perdana Menteri Fumio Kishida berkata demikian pada Rabu, mengulas pengiktirafan Rusia terhadap republik Donetsk dan Luhansk (DPR, LPR).

5. COVID-19 | Kemboja mula vaksin kanak-kanak 3-4 tahun

Ia sebahagian daripada usaha untuk mengekang penularan varian Omicron di negara itu.

6. Krisis Ukraine-Rusia | Parlimen Rusia lulus kuasa tentera di luar negara

Parlimen Rusia pada selasa meluluskan hak Presiden Vladimir Putin untuk mengguna kuasa tentera di luar negara. Langkah itu sekali gus memberi ruang kepada Putin untuk melancarkan serangan besar-besaran ke atas Ukraine, selepas Amerika Syarikat mendakwa pencerobohan sudah bermula.

7. Selepas Barat, Jepun pula kenakan sekatan ke atas Rusia

Perdana Menterinya, Fumio Kishida menyifatkan Moscow mencabul kedaulatan Ukraine dan undang-undang antarabangsa dan ia tidak boleh diterima.

8. Hong Kong kemuka permohonan sertai RCEP

Kerajaan Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong (HKSAR) China memberitahu satu permohonan untuk menyertai Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) telah dikemukakan pada Januari dan dijangka menandatangani perjanjian secara rasmi selepas 18 bulan.

9. Iran miliki kapasiti bekalkan gas asli kepada dunia - Presiden

Presiden Iran Ebrahim Raisi berkata negaranya bersedia untuk membekalkan gas asli kepada dunia, termasuk Eropah.

10. Biden runding sokongan dari Asia kenakan sekatan ke atas Rusia - Laporan

Memetik laporan Foreign Policy, tiga sumber memaklumkan bahawa Washington setakat ini telah mendapat sokongan dari Singapura, Jepun dan Taiwan untuk melaksanakan kawalan eksport ketat ke atas Rusia.