Antara pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang Isnin, 15 Mei 2023.

1. Dua parti pembangkang setuju bentuk Kerajaan selepas menang PRU Thailand

Dua parti pembangkang utama Thailand bersetuju untuk membentuk gabungan pemerintahan setelah menewaskan parti disokong tentera yang menerajui Thailand selama hampir sedekad.

2. Pegawai tertinggi Sudan bertemu PBB, bincang pengurusan krisis

Pegawai-pegawai tertinggi Sudan telah bertemu dengan delegasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi membincangkan pengurusan krisis dan penyaluran bantuan.

3. Pilihan raya Turkiye: Sokongan pengundi untuk Presiden Erdogan merosot

Sokongan pengundi untuk Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan merosot di bawah majoriti yang diperlukan bagi memenangi Pemilihan Presiden.

4. Perikatan rakyat 'mendahului' pilihan raya parlimen - Erdogan

Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan berkata, Perikatan Rakyat "mendahului" dalam pilihan raya umum dan presiden Ahad ini, meskipun keputusan rasmi masih belum diumumkan, lapor Agensi Anadolu (AA).

5. Bangladesh, Myanmar dilanda taufan Mocha

Taufan Siklon Mocha beserta hujan lebat dan angin kencang yang melanda Bangladesh dan Myanmar menyebabkan penduduk di kawasan pantai berisiko kehilangan rumah mereka.

6. 26 maut dalam nahas treler-trak di lebuh raya Mexico

Sekurang-kurangnya 26 orang terbunuh selepas sebuah treler dan sebuah trak bertembung lalu terbakar di lebuh raya timur laut Tamaulipas, Mexico pada Ahad.

7. Myanmar isytihar 17 pekan terjejas siklon sebagai zon bencana

Myanmar mengisytiharkan 17 pekan di negeri Rakhine sebagai kawasan terjejas bencana alam, menurut pemberitahuan yang dikeluarkan oleh Majlis Pentadbiran Negeri (SAC) pada Isnin, lapor Xinhua.

8. Mahkamah di China jatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas warga AS kerana mengintip

Mahkamah di China menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas warga Amerika Syarikat (AS) berusia 78 tahun atas tuduhan mengintip, lapor agensi berita (dpa) Jerman.

9. Iraq gali semula 605 mayat yang dibunuh Daish

Iraq menggali semula 605 mayat yang dipercayai mangsa pembunuhan Daish, berhampiran sebuah penjara di utara Iraq sejak dua tahun lalu, menurut sebuah agensi kerajaan pada Isnin.

10. Filipina pasang pelampung di Laut China Selatan untuk 'pertahan kedaulatan'

Filipina memasang pelampung marin di kawasan yang menjadi pertikaian di Laut China Selatan, termasuk di terumbu yang menyaksikan kehadiran lebih 100 kapal China baru-baru ini, bagi melindungi kedaulatan negara, kata pengawal pantai pada Isnin.