JUMLAH kumulatif kes positif COVID-19 di seluruh dunia ketika ini melebihi 387 juta.

Ini berikutan lebih 3.17 juta kes baharu dikesan dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan bilangan kes COVID-19 global kini mencecah 387,019,718.

Data Johns Hopkins University menunjukkan Amerika Syarikat kekal negara paling teruk terjejas dengan lebih 75.9 juta kes.

Ini diikuti India dengan 41.8 juta kes, Brazil dengan 25.8 juta kes dan Perancis 20.3 juta.

Sementara itu, negara yang mencatatkan jumlah kes positif COVID-19 melebihi angka 11 juta ialah United Kingdom, Turki, Rusia dan Itali.

Sepanyol dan Jerman kini merekodkan lebih 10 juta kes.

Bagi Asia Tenggara, Indonesia mendominasi angka tertinggi kes COVID-19 dengan melebihi 4.3 juta kes.

Ini diikuti Filipina dengan lebih 3.5 juta, Malaysia lebih 2.8 juta kes, Thailand 2.4 juta kes, manakala Singapura merekodkan lebih 366,000 kes.

Sementara itu, angka korban akibat COVID-19 di seluruh dunia kini melebihi 5.7 juta.

Berdasarkan data Johns Hopkins University, Amerika Syarikat terus merekodkan jumlah tertinggi dengan 896,238 kes kematian setakat ini.

Ini diikuti Brazil dengan 629,301 kes, India 498,983 kes, Rusia 326,642 kes manakala Mexico 306,920 kematian.

United Kingdom, Itali, Perancis dan Jerman pula merekodkan lebih 100,000 kes kematian.

Negara yang merekodkan angka korban melebihi 90,000 kes ialah Sepanyol.

Bagi Asia Tenggara, Indonesia mendominasi angka kematian dengan lebih 144,000 kes korban.

Filipina di tangga kedua angka korban tertinggi dengan lebih 54,000 diikuti Malaysia dengan 32,000 kes dan Thailand, 22,000.