MOSCOW: Rusia dilaporkan menyarankan rakyatnya untuk mengelakkan melakukan perjalanan ke Kanada, baru-baru ini.

Memetik Arab News, Kementerian Luar Rusia memaklumkan ini berikutan tindakan diskriminasi terhadap rakyat Rusia termasuk keganasan fizikal.

"Berikutan banyak kes diskriminasi terhadap warga Rusia... di Kanada, termasuk keganasan fizikal, kami syorkan agar anda tidak melawat negara ini untuk tujuan pelancongan, pendidikan dan dalam konteks perhubungan perniagaan," kata Kementerian Luar Rusia Rusia dalam sebuah arahan dikeluarkan pada Sabtu.

Terdahulu, Kanada merupakan salah sebuah negara yang menyokong Ukraine dalam krisis menentang tentera Rusia.

Negara itu juga mengenakan sekatan ke atas ratusan pegawai dan syarikat Rusia, serta melaksanakan pelbagai larangan perdagangan.

“Jika anda sudah berada di Kanada, kami menyeru anda supaya berwaspada, terutamanya di tempat awam,” tambah arahan yang dipaparkan di saluran utama Telegram kementerian pada Sabtu.

Sementara itu, Kementerian Luar Kanada masih belum mengulas sebarang kenyataan tambahan pada ketika ini.

Minggu lalu, Rusia melakukan sekatan ke atas 333 pegawai dan tokoh awam Kanada, termasuk ahli sukan Olimpik terkenal, sebagai tindak balas atas sekatan Kanada terhadap Moscow dan sokongan terhadap Ukraine.