Pihak berkuasa Mesir memberkas tiga suspek dipercayai anggota kumpulan pengganas yang mempunyai kaitan dengan Al-Qaeda.

Mereka disyaki merancang serangan berani mati ke atas beberapa lokasi strategik dan kedutaan asing.

Menurut Menteri Dalam Negeri Mesir, Mohammed Ibrahim mereka juga didapati mempunyai hubungan langsung dengan pemimpin Al-Qaeda di Asia Tenggara yang juga membabitkan Pakistan.

Kumpulan berkenaan dipercayai merancang serangan ke atas bangunan kerajaan dan kedutaan asing.

Bagaimanapun Ibrahim enggan mendedahkan butiran teperinci mengenai sasaran serangan.

Pihak keselamatan telah berjaya menangkap individu dipercayai pengganas. Mereka merancang melakukan serangan berani mati,” kata Ibrahim.

Maklumat pegawai keselamatan mendedahkan sasaran berkenaan ialah sebuah kedutaan negara barat.

Penangkapan dilakukan selepas pihak berkuasa menemui 10 kilogran amonium nitrat, antara bahan utama digunakan dalam pembuatan bahan letupan.

Turut ditemui ialah maklumat cara membuat bom dan roket dipercayai dikeluarkan pergerakan Al-Qaeda Maghribi, sebuah kumpulan bersenjata di utara Afrika.

Dua suspek ditahan di Iskandariah dan suspek ketiga di Kaherah.