KUALA LUMPUR: Sejumlah 113,200 dos vaksin jenis CanSino dan SinoVac tiba di Sabah dalam usaha memperhebat Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di negeri itu.

Kedua-dua vaksin masing-masing 70,000 dos jenis Sinovac manakala 43,200 dos tunggal CanSino tiba di Terminal 1 MasKargo, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, jam 9.05 pagi tadi.

Menurut Pengarah Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) negeri, Datuk Masnah Matsalleh, sejumlah 43,200 dos vaksin tunggal CanSino yang tiba hari ini merupakan kumpulan kedua.

‘’Pada minggu ini, kita menerima beberapa jenis vaksin antaranya sejumlah 252,720 dos Pfizer-BioNTech pada Isnin. Kita difahamkan pada Jumaat ini juga, kita akan menerima bekalan vaksin dari Sarawak dan Selangor.

‘’Jadi, bekalan vaksin yang ada ini dapat menampung sasaran pemberian vaksin di Sabah," katanya.

Vaksin jenis CanSino dan SinoVac tiba di Terminal 1 MasKargo, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.

Selain itu, Masnah yang merupakan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pentabiran) berkata, pengagihan vaksin dos tunggal jenis CanSino di Sabah akan diberi keutamaan kepada penduduk di pedalaman, dan pulau di seluruh Sabah. 

Katanya, agihan ke daerah-daerah terlibat akan diselia oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Datuk Masnah Matsalleh berkata, Sabah juga akan menerima bekalan tambahan dari Selangor dan Sarawak.

"Setakat ini, vaksin yang diterima adalah mencukupi bagi keperluan sasaran yang telah ditetapkan. Vaksin dos tunggal CanSino bagi kumpulan pertama telah tiba semalam iaitu sebanyak 50,800 dos," jelasnya.