YAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah telah mengenal pasti 18 lokasi di pusat peranginan di negeri ini yang berisiko tinggi berlakunya fenomena kepala air.

Pengarahnya Sayani Saidon berkata, kesemua lokasi ini tidak selamat dikunjungi ketika perubahan cuaca terutamanya ketika hujan lebat.

Beliau berkata, antara tanda akan berlakunya kepala air termasuklah bunyi deruan kuat di atas puncak bukit atau gunung selain air tiba-tiba bertukar keruh mendadak yang disertai ranting kayu dan daun berselerak mengikut aliran air.

Katanya, selain Titi Hayun dan Batu Hampar di Yan, kawasan air terjun di Junjung di Kulim, Pusat Rekreasi Tupah di Merbok, Air Terjun Temurun, Jalan Datai di Langkawi, Hutan Lipur Lubuk Semilang di Langkawi juga didapati berisiko tinggi.

Selain itu, Hutan Lipur Puncak Janing di Kuala Nerang, Air Terjun Telaga Tujuh di Langkawi, Sungai Kuala Sedim di Kulim, Air Terjun Ulu Paip di Kulim, Air Terjun Bukit Hijau di Baling, Air Terjun Lata Bayu di Baling, Air Terjun Lata Mengkuang di Sik, Perangin di Sik, Tasik Beris di Sik, Sungai Kulim, Lata Celak Iboi di Baling.

"Selain daripada Titi Hayun dan juga Batu Hampar di negeri Kedah ini ada beberapa kawasan lain lagi iaitu sebanyak 18 kawasan yang kita kenal pasti berisiko tinggi juga mungkin boleh berlakunya fenomena kepala air di kawasan kawasan tersebut.

"Jadi mengambil iktibar daripada kejadian ini saya ingin memesan kepada masyarakat terutamanya yang tinggal di kawasan 18 lokasi yang kita kenal pasti ini supaya mempertingkatkan lagi langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku," katanya.

Beliau melakukan tinjuan di kawasan Titi Hayun selepas kejadian kepala air berlaku kali kedua semalam.

BACA: Titi Hayun di kaki Gunung Jerai dilanda kepala air sekali lagi

Katanya, dalam kejadian itu air Sungai Titi Hayun melimpah selepas hujan lebat berikutan aliran air di sungai itu menjadi cetek berikutan kejadian kepala air pada 18 Ogos lalu.

Jelasnya, keadaan tersebut menyebabkan berlakunya limpahan air sungai di kawasan kampung berdekatan.

Sayani memaklumkan, apabila hujan lebat dan air terkumpul di atas gunung, maka air yang turun akan menjadi deras.

Justeru beliau menasihati penduduk berdekatan agar sentiasa menjaga keselamatan diri serta sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa.

Dalam masa sama, pasukan keselamatan sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia bagi memastikan keselamatan penduduk.

Kejadian kepala air 18 Ogos lalu, telah mengakibatkan kawasan Gunung Jerai, Titi Hayun, Tupah dan Batu Hampar dilanda banjir lumpur.

BACA: Bencana Gunung Jerai: Jasad mangsa keenam tragedi kepala air dijumpai

Kejadian itu mengorbankan enam mangsa manakala seorang lagi terselamat.