PASIR MAS: Polis menahan dua pengedar dadah warga Thailand dan merampas sepucuk pistol dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Rahmat, Lubok Setol, pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, pihaknya turut merampas 25 peluru hidup dan lebih 160 pil Yaba.

"Semasa serbuan dilakukan, berlaku sedikit pergelutan antara suspek dan anggota serbuan yang telah mengakibatkan kecederaan pada bahagian dahi seorang anggota.

"Bagaimanapun kita berjaya memberkas dua suspek tersebut yang sudah lama bergiat aktif dalam pengedaran dadah iaitu sejak dua tahun lalu," katanya semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas pada Khamis.

Mohd Nasaruddin berkata, pistol yang dirampas itu dimiliki salah seorang dari suspek yang turut memiliki rekod jenayah lampau.

Katanya, kes disiasat bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api Penalti lebih berat 1971, Seksyen 8 (A) Akta Senjata Api 1960, Seksyen 332 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63.