SEBELUM memulakan hari anda, berikut lima berita penting perlu anda tahu.


1. Permit pengecualian pergerakan ditangguh

Arahan untuk mendapatkan kebenaran jika orang ramai ingin ke negeri lain ditarik balik.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata orang ramai yang berhasrat untuk mengadakan sebarang perjalanan antara negeri tidak perlu mengisi borang buat sementara waktu.

Bagaimanapun, mereka dinasihatkan supaya kurangkan pergerakan dan perjalanan ke negeri lain.

Terdahulu, orang ramai dikehendaki menghubungi balai polis berdekatan untuk memaklumkan mengenai hasrat itu menerusi borang yang disediakan.

Langkah ini menyebabkan orang ramai berpusu-pusu ke balai polis sebelum bergerak pulang ke kampung halaman.

Untuk rekod, negara mencatatkan dua kematian pertama COVID-19 semalam daripada kluster kes ke-178 dan ke-358.



2. Pintu masuk Johor-Singapura ditutup sepenuhnya

Tiada perjalanan keluar masuk, termasuk bagi rakyat Malaysia yang berulang-alik bekerja di Singapura, selepas tengah malam ini.

Polis Johor juga menempatkan lebih 40 anggota di kedua-dua pintu utama masuk darat membabitkan Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Bukit Chagar dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah, mulai tengah malam tadi.




3. Ditahan, dipenjara 2 tahun jika ingkar

Orang ramai yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan bermula hari ini hingga 31 Mac akan ditahan di bawah Akta 574 Kanun Keseksaan.

Perkara ini tertakluk di bawah Seksyen 186 iaitu menghalang penjawat awam daripada menjalankan kerja; Seksyen 188 di mana pesalah mengingkari perintah yang diisytiharkan; dan cuai sehingga menyebabkan jangkitan boleh mengakibatkan bahaya kepada nyawa dan keempat, mengingkari aturan kuarantin.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam pada itu menegaskan sesiapa sahaja yang didapati berkumpul dalam mana-mana keramaian, walaupun sudah diarahkan untuk mematuhi garis panduan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), akan berdepan denda RM1,000 atau penjara enam bulan, atau kedua-duanya sekali.

Menurutnya, perkara itu terkandung dalam Akta 342 Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh berkata langkah tersebut disifatkan sebagai tepat kerana disiplin diri dalam kalangan rakyat Malaysia masih agak kurang.

Menurutnya, kebarangkalian graf jangkitan COVID-19 meningkat secara drastik di Malaysia boleh terjadi sekiranya masyarakat tidak endahkan tempoh 14 hari perintah kawalan pergerakan seperti diumumkan oleh Perdana Menteri pada Isnin.



4. Loji Rawatan Air Sungai Selangor kembali beroperasi

Air Selangor memaklumkan henti tugas Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, dan Fasa 3 (LRA SP1, LRA SSP2 dan LRA SSP3), ekoran pencemaran bau di sumber air mentah berkuasa kuasa jam 11.18 malam Selasa.

Dalam kemas kini terbaru, Air Selangor berkata loji-loji rawatan air yang terjejas ekoran pencemaran bau di Sungai Selangor itu kini kembali beroperasi.



5. Akses percuma saluran filem di Astro

Astro membuka akses percuma kepada semua saluran filem untuk para pelanggannya.

Akses dibuka bermula jam 6 pagi 18 Mac 2020 kepada saluran merangkumi HBO, FOX Movies, Celestial Movies, tvN Movies, BollyOne dan banyak lagi.

Peminat filem dapat menikmati musim baharu siri ‘Westworld’ di HBO, filem-filem ‘blockbuster’ seperti "Avengers: Endgame" di Fox Movies, filem terbaik Anugerah Academy 2020, "Parasite" di tvN Movies dan pelbagai lagi.

Semuanya boleh ditonton di platform Astro juga di mana-mana sahaja pada bila-bila masa menerusi aplikasi Astro GO.

Pelanggan NJOI pula mendapat akses percuma kepada dua saluran tambahan, iaitu KIX dan Nat Geo WILD.