PADANG BESAR: Atas dasar cintakan keindahan alam sekitar dan mahukan kawasan Geotapak Taman Rekreasi Bukit Jernih terus kekal bersih dan terpelihara, sekumpulan individu mengambil inisiatif secara bergilir-gilir menjaga kebersihan kawasan tumpuan pelancong itu.

Presiden Persatuan Rekreasi Bukit Jernih (PRBJ) Azmi Ariffin, 63, berkata beliau dan beberapa rakan memulakan usaha sukarela itu pada 2018 dengan mengutip sampah yang ditinggalkan oleh pengunjung tidak bertanggungjawab.

"Antara sampah yang sering ditinggalkan ialah lampin pakai buang, botol minuman, pelbagai jenis plastik dan sisa makanan," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata jika sampah dibiarkan dalam masa lebih dari satu hari ia akan menyebabkan bau busuk dan mengundang kehadiran binatang liar seperti kera dan lotong.

"Saya bimbang jika sampah dibiarkan begitu sahaja ia akan menjejaskan kehadiran pelancong ke sini. Mana ada orang nak datang ke tempat yang kotor dan tercemar," katanya.



Menurut Azmi yang mesra dipanggil Abang Mie, beliau dan rakan-rakannya terpanggil untuk menjaga kebersihan kerana cintakan keindahan Bukit Jernih yang menjadi tempat mereka bermain ketika zaman kanak-kanak.

"Jika bukan kami, siapa lagi nak buat kerja-kerja sukarelawan ini. Walaupun terdapat kontraktor dilantik untuk membersih kawasan, mereka tidak mampu melakukan semuanya dan ini (menjaga kebersihan) juga adalah tanggungjawab bersama," katanya.

Azmi berkata beliau dan rakan-rakannya gembira apabila melihat orang ramai mengunjungi Bukit Jernih malah mereka turut mengadakan kempen kebersihan dengan memberi nasihat kepada pengunjung supaya membawa pulang sampah atau membuang ke dalam tong yang disediakan.

"Alhamdulillah, kesedaran pengunjung terhadap penjagaan alam sekitar semakin tinggi, jika dahulu setiap kali cuti umum saya dan rakan-rakan mengutip 20 hingga 30 helai lampin pakai buang sehari tetapi jumlah berkenaan berkurangan sejak kebelakangan ini," katanya.

Menurut Azmi, selain menjaga kebersihan, beliau dan rakan-rakan turut bergilir-gilir menjaga keselamatan kawasan perkhemahan Bukit Jernih pada sebelah malam.

-- BERNAMA