JOHOR BAHRU: Seorang anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) didakwa atas empat pertuduhan menerima rasuah bagi melindungi syarikat pengangkutan lori daripada dikenakan tindakan undang-undang.

Bagaimanapun tertuduh, Ahmad Jamil Md Saru, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail di Mahkamah Majistret Johor Bahru, di sini, pada Rabu.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia sebagai Pembantu Penguat Kuasa Kanan JPJ, didakwa menerima suapan bernilai RM27,600 secara pindahan dalam talian daripada pengurus syarikat Sivan Sakthi Maju Enterprise, N PP Vijayan.

Ia sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan penguatkuasaan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 ke atas lori-lori milik syarikat berkenaan.

Lelaki berusia 40 tahun itu didakwa melakukan kesalahan terbabit di sebuah cawangan bank di Jalan Sulaiman, Muar di antara 26 Januari 2016 sehingga 24 Mac 2019.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Irwan Shah Abdul Samat manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin

Tertuduh turut diperintah melaporkan diri setiap bulan di pejabat SPRM di samping perlu menyerahkan pasport kepada pihak mahkamah.

Kes akan disebut semula pada 20 September depan bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.