Ketua Puteri UMNO Datuk Mas Ermieyati Samsudin pada Khamis mengingatkan anggotanya supaya mengambil tahu sejarah perjuangan parti agar dapat dijadikan panduan ketika mereka berada dalam apa juga keadaan.

Beliau berkata hanya dengan memahami sejarah terdahulu anggota Puteri akan lebih memahami mengapa dan bagaimana untuk terus berjuang dalam UMNO apabila berhadapan dengan situasi seperti yang berlaku dalam parti kebelakangan ini.

"Kita ada pelbagai cara untuk menyelesaikan sebarang masalah dalam parti dan kebijaksanaan pemimpin kita telah membuktikan segalanya sekali gus mematahkan tohmahan pihak luar yang nak tengok UMNO rebah dan berpecah.

Sebagai sayap bongsu dalam UMNO, ahli Puteri perlu terus istiqamah, fokus dan sentiasa bersama dalam meneruskan perjuangan parti," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pergerakan Puteri UMNO di sini, pada Khamis.

Beliau berkata pergerakan Puteri telah sebulat suara menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mas Ermieyati berkata pihaknya bersyukur kerana walau apa pun yang melanda parti sejak kebelakangan ini, ia dilihat tidak memberi kesan, sebaliknya keanggotaan Puteri terus meningkat.

Katanya keanggotaan pergerakan itu sehingga Ogos lepas adalah sebanyak 384,123 orang dan Sabah mencatatkan jumlah keanggotaan tertinggi dengan 59,699 orang.

"Dalam tempoh Jun hingga Ogos lepas sahaja keahlian baharu bertambah sebanyak 4,126 ahli...Puteri akan terus komited mencapai sasaran 500,000 keahlian berkualiti.

Saya harap biro keahlian dapat memastikan proses pendaftaran dapat berjalan lancar sama ada melalui borang atau atas talian," katanya.

Sementara itu, Mas Ermieyati turut mengumumkan pelantikan pelakon Khaidhirah Abu Zahar atau lebih dikenali sebagai Dira yang merupakan anggota Puteri Bahagian Tangga Batu, Melaka, sebagai Exco Puteri baharu.