ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Isnin, 30 November 2020.

1) Bilangan rakyat Malaysia berkahwin menurun, jumlah bercerai meningkat tahun lepas

Bilangan rakyat Malaysia yang berkahwin tahun lepas menurun sebanyak 1.2 peratus kepada 203,821 orang, berbanding 206,352 orang pada tahun sebelumnya, menurut laporan Statistik Perkahwinan dan Perceraian Malaysia 2020.

2) Kanak-kanak OKU dikhuatiri lemas tergelincir dalam sungai

Seorang kanak-kanak perempuan orang kurang upaya (OKU) berusia lapan tahun dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Merbok, Kampung Bikan Atas, dekat Kulim, hari ini.

Mangsa dikatakan tergelincir ke dalam sungai itu kira-kira jam 6.15 petang tadi.

3) COVID-19: Malaysia terima laporan akhir vaksin minggu depan

Malaysia dijangka menerima laporan ujian klinikal fasa ketiga vaksin COVID-19 minggu depan, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, pihaknya juga sedang dalam rundingan dengan 10 syarikat pengeluar bagi mendapatkan vaksin berkenaan sekiranya ia diluluskan.

4) Pharmaniaga siap siaga edar vaksin COVID-19

Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga) telah menubuhkan pasukan petugas dan bersedia mengedarkan vaksin COVID-19 ke seluruh negara yang dijangka boleh didapati pada suku pertama tahun depan.

5) Lagi laporan ke atas penceramah bebas, cabul penuntut kolej

Polis menerima satu lagi laporan terhadap seorang penceramah bebas yang kini direman bagi membantu siasatan berhubung kes rogol seorang wanita di sebuah rumah di Seksyen 7 Shah Alam, tahun lalu.

6) Kerajaan nafi ada perjanjian rahsia dengan Top Glove

Kerajaan menafikan wujud perjanjian antara Kementerian Kesihatan (KKM) dan Top Glove Corporation Bhd (Top Glove) bagi membolehkan pekerja yang sedang menjalani kuarantin meneruskan kerja seperti biasa.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pihaknya menyedari wujud dakwaaan sedemikian dan menegaskan ia tidak pernah berlaku.

7) Tubuh Perikatan Nasional: Tun Mahathir sangkal dakwaan Azmin

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyangkal dakwaan oleh Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mendakwa idea penubuhan Perikatan Nasional (PN) datang daripada beliau sendiri.

8) LRT Pulau Pinang: "Dakwaan YB Bagan tidak benar sama sekali" - Tengku Zafrul

Keputusan Kementerian Kewangan untuk tidak meneruskan pinjaman daripada Bank Pembangunan Asia (ADB) bagi membiayai projek transit aliran ringan (LRT) Pulau Pinang yang berjumlah AS$500 juta (RM2 bilion) adalah selaras dengan pandangan Bank Negara Malaysia berikutan pasaran kewangan negara yang mempunyai kecairan yang tinggi.

9) Polis Kelantan beri amaran tutup kedai emas

Polis Kelantan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan drastik mengeluarkan arahan menutup operasi kedai emas di negeri itu pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berterusan.

10) 'Sekiranya tolak belanjawan, bagaimana nak jelaskan kepada rakyat?' - Anwar

Majoriti pembangkang tidak menolak Belanjawan 2021 kerana kebanyakan permintaan mereka untuk menambah baik belanjawan itu dipersetujui Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sekiranya belanjawan yang dilihat banyak membantu masyarakat itu ditolak, bagaimana mereka mahu menjelaskan situasi berkenaan kepada rakyat.