ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah berita paling menjadi tumpuan sepanjang Selasa, 25 Mei 2021.

1. LRT bertembung: Bantuan khas RM1,000 kepada 213 mangsa

Prasarana Malaysia Bhd akan memberi bantuan khas berjumlah RM1,000 setiap seorang bagi semua 213 mangsa yang terlibat dalam nahas pertembungan LRT malam tadi.

2. 1MDB: Perbicaraan ditangguh lagi, Najib masih alami hematoma

Mahkamah Tinggi hari ini sekali lagi menangguhkan perbicaraan kes membabitkan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) memandangkan Datuk Seri Najib Razak masih belum pulih daripada kesan pembedahan matanya.

3. COVID-19: Tempoh dua minggu jadi penentu

Tempoh dua minggu bagi rakyat Malaysia untuk bersama-sama mengehadkan pergerakan kendiri atau 'self lockdown' sangat signifikan, yang akan menentukan di mana kedudukan negara dalam statistik kebolehjangkitan wabak yang semakin mengganas ini.

4. COVID-19: Kes di Sarawak meningkat ketara selepas Aidilfitri

Kes COVID-19 di Sarawak mengalami peningkatan ketara selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri dengan 3,272 kes positif COVID-19 antara tempoh 9 Mei 2021 hingga 15 Mei 2021.

5. Tempahan vaksin AstraZeneca dibuka kepada individu bawah 60 tahun esok - Khairy

Kerajaan akan mula membuka slot tempahan kepada individu bawah 60 tahun bagi pusingan kedua vaksin AstraZeneca esok (Rabu) bermula jam 12 tengah hari.

6. Agong nasihat Kerajaan Sarawak berfungsi seperti biasa di bawah Ordinan Darurat 2021

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihatkan Kerajaan Negeri Sarawak agar berfungsi seperti biasa dengan kuasa di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021.

7. Lelaki didakwa buang, sembunyi mayat remaja perempuan di kebun getah

Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Alor Setar, hari ini atas pertuduhan membuang dan menyembunyikan mayat seorang remaja perempuan di tepi jalan simpang Pokok Pauh di Pokok Sena, di sini pada 11 Mei lalu.

8. COVID-19: Lonjakan kes tertinggi, 7,289 kes baharu

Malaysia merekodkan kes harian tertinggi kes positif COVID-19 apabila merekodkan 7,289 kes baharu dalam tempoh 24 jam yang lalu.

9. KKM kesan 13 lagi kes VOC libatkan varian Afrika Selatan, India

Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan 13 lagi kes Variant of Concern (VOC) melibatkan varian Afrika Selatan B.1.351 dan varian India B.1.617.

10. COVID-19: 48,261 kanak-kanak sudah dijangkiti - Ismail Sabri

Kes jangkitan virus COVID-19 dalam kalangan bayi dan kanak-kanak kini amat membimbangkan dan menjadi antara golongan yang berisiko dijangkiti virus COVID-19 selepas warga emas.