ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah berita paling menjadi tumpuan sepanjang Jumaat, 18 Februari 2022.

1. PRN Johor: 'Biar rakyat Johor tentukan' - Komen Syed Saddiq jika pertindihan kerusi tidak dapat dielak

Sekiranya pertindihan kerusi di antara parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan PKR tidak dapat dielakkan, parti itu akan menyerahkan keputusan di tangan rakyat Johor. 

2. Ebit Lew mengaku tidak bersalah, diikat jamin RM11,000

Pendakwah terkenal Ebit Lew mengaku tidak bersalah atas 11 pertuduhan terhadapnya, termasuk gangguan seksual, yang dibacakan di hadapan majistret di Mahkamah Litar, Tenom, Sabah, hari ini.

3. Dagangan Januari Malaysia meningkat lebih 24 peratus

Perdagangan Malaysia bagi Januari 2022 meningkat 24.8 peratus kepada RM203.05 bilion berbanding Januari 2021, menurut Matrade dalam satu kenyataan. 

4. Ali Puteh diperintah bayar RM60,000 kepada kakak ipar

Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur pada Jumaat perintahkan Ali Puteh membayar RM60,000 kepada isteri Allahyarham Abam Bocey, Siti Nor Hidayah Mohd Ali kerana mengeluarkan kata-kata mengaibkan, di Instagram dua tahun lalu.

5. Penguasa Kanan SPRM dipenjara tiga tahun, dua sebatan salah guna wang rampasan AS$6.94 juta

Seorang Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dipenjara tiga tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini kerana menyalah guna wang rampasan berjumlah AS$6.94 juta.

6. Mahu bertembung dengan PKR? Ini teguran 'Pak' Hassan Karim kepada MUDA

Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim hari ini memberi peringatan kepada Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tentang hasrat parti itu mahu bertembung dengan Parti Keadilan Rakyat.

7. Saya tak rasa apa-apa, anggap ini satu ujian Allah SWT - Ebit Lew

Pendakwah terkenal, Ebit Lew menyifatkan 11 pertuduhan termasuk gangguan seksual terhadapnya, melampau dan bertujuan untuk menjatuhkan kredibilitinya.

8. Kes tikam bayi: Pendakwaan boleh teliti, kaji semula keputusan pertuduhan - Jabatan Peguam Negara

Pihak pendakwaan masih boleh meneliti dan mengkaji semula keputusan pertuduhan asal di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaaan ke atas seorang remaja berusia 15 tahun yang didakwa membunuh anak yang baru dilahirkannya kepada pertuduhan lain.

9. Buka sempadan negara: Kerajaan beri KKM dua, tiga minggu untuk bentangkan cadangan - PM

Perlu ada keseimbangan yang tepat antara keperluan merancakkan ekonomi, serta kebimbangan rakyat tentang penularan COVID-19, sebelum keputusan membuka sempadan negara boleh dicapai, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

10. PRN Johor: Ceramah dan kempen secara fizikal, ziarah rumah ke rumah dibenarkan - SPR

Penganjuran ceramah, syarahan dan kempen secara fizikal dan ziarah rumah ke rumah dibenarkan sepanjang 14 hari tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.