ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang Sabtu, 20 Ogos 2022.

1. Hentikan serangan peribadi terhadap badan kehakiman - Faizal Azumu

Tindakan tersebut tidak beretika dan mengganggu badan kehakiman serta mengundang persepsi negatif selain memalukan nama baik negara.

2. Segerakan PRU15 atau UMNO, BN tewas - Zahid Hamidi

Menurut Presiden UMNO itu, pembangkang sedang menggunakan pelbagai persepsi untuk menggugat keyakinan akar umbi UMNO dan BN, malah isu yang dikemukakan berbentuk serpihan dan bukan daripada perspektif menyeluruh.

3. Dasar kerajaan dan kejayaan perlu diperjelas, pastikan rakyat dapat maklumat tepat - PM

Dasar kerajaan dan kejayaan pelaksanaannya perlu diperjelas kepada rakyat supaya tidak keliru dengan fitnah dan kempen anti kerajaan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

4. Wanita, anak maut dalam kemalangan di Kota Tinggi

Dua individu maut manakala empat lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan berhampiran Felcra Dusun Panti, di Kota Tinggi pada Sabtu.

5. Wanita berihram kerjakan umrah masih dicari - Idris Ahmad

Siasatan berkaitan tindakan seorang wanita yang didakwa mengerjakan umrah dengan mengenakan pakaian ihram lengkap seperti lelaki masih dijalankan termasuk bekerjasama dengan Jabatan Imigresen.

6. Kerajaan pertimbang tingkat peruntukan untuk KKM dalam Bajet 2023 - PM

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ini kerana KKM merupakan antara kementerian penting yang berurusan secara terus dengan rakyat.

7. Sukma 2022: Gugur 12 acara, tiada unsur sabotaj - Ahmad Faizal

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yakin tiada unsur sabotaj dalam pengguguran 12 acara di saat akhir sebelum tarikh tutup Sukan Malaysia (Sukma) 2022.

8. Lelaki disyaki ancam dan ugut Ketua Hakim Negara ditahan - PDRM

Polis telah menahan seorang lelaki berusia 30 tahun berhubung ancaman dan ugutan yang dibuat menerusi media sosial terhadap Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat baru-baru ini.

9. Ancaman kepada hakim tindakan melampau - Rais Yatim

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim menyifatkan tindakan memberi ancaman kepada Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat baru-baru ini merupakan perkara amat menggerunkan.

10. PM bimbang 'Parlimen tergantung' lepas PRU15

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menzahirkan kebimbangan sekiranya tiada parti yang mendominasi kerusi Parlimen yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.