KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak lagi membayar caj servis penumpang (PSC) bagi setiap penumpang kepada Express Rail Link Sdn Bhd (ERL), yang mengendalikan perkhidmatan KLIA Ekspress dan KLIA Transit mulai 2029.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, melalui Perjanjian Konsesi Tambahan yang ditandatangani hari ini, ia membolehkan ERL melaksanakan kadar tambang berdasarkan pertimbangan pasaran.

ERL, bagaimanapun, setakat ini, jelas beliau, tiada perancangan untuk menaikkan kadar tambang semasa, sebaliknya ia akan ditentukan berdasarkan harga yang bersifat dinamik berkuatkuasa serta-merta.

“Perjanjian konsesi pertama itu akan berakhir pada tahun 2029. Jadi apabila kita tandatangani konsesi tambahan ini yang merupakan satu peruntukan di bawah perjanjian asal, maka konsesi ini akan dilanjutkan 30 tahun lagi dari tahun 2029 hingga tahun 2059.

“Harga akan jadi dinamik. Ia terpulang kepada operator untuk lihat bagaimana mereka strukturkan tambang itu terpulang kepada model yang mereka nak guna. Saya difahamkan mereka tiada niat untuk meningkatkan kadar tambang,” katanya pada Selasa.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Konsesi Tambahan Antara Kerajaan Malaysia & ERL, di ibu negara, hari ini.

Hadir sama menyaksikan perjanjian tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif ERL, Noormah Mohd Noor.

Loke menambah, langkah untuk tidak lagi membayar pampasan atau PSC kepada ERL dijangka mengurangkan beban kewangan kerajaan.

Ujar beliau lagi, melalui perjanjian konsesi pertama, ERL boleh membuat semakan semula harga pada setiap lima tahun.

"Jadi apabila kerajaan tidak membenarkan kadar tambang itu meningkat, maka perlu ada pampasan daripada pihak kerajaan kepada pihak operator.

"Ini umpama perjanjian-perjanjian tol, sekiranya kerajaan tak benar kenaikan tol dan dalam kes ini (ERL) kenaikan kadar tambang, maka kerajaan perlu memberikan pampasan.

"Ini merupakan satu beban kewangan yang besar kepada kerajaan. Jadi dalam perjanjian konsesi tambahan ini bermula 2029, peruntukan ini tidak ada lagi," kata Loke.

Dalam masa sama, Loke memaklumkan menerusi Perjanjian Konsesi Tambahan itu juga, kerajaan akan mendapat 30 peratus daripada keuntungan ERL, jika syarikat itu melepasi ambang tertentu.

"Namun begitu kita tahu bahawa pengangkutan awam biasanya sukar mendapat keuntungan. Begitupun dia (ERL) telah beroperasi lebih 20 tahun dan kita berharap dalam satu tempoh yang tidak begitu panjang ini dapat dicapai melalui pihak ERL.

"Kita dah bagi komitmen melalui perjanjian tambahan supaya mereka merancang untuk melabur dalam aset mereka. Pertama, penyelenggaraan tren, infrastruktur, kemudahan stesen dan sebagainya. Sudah tentu kita akan pantau operator dan pastikan perkhidmatan mereka (berkualiti)," ujar beliau.

Sementara itu, Noormah berkata ERL antaranya sedang merancang ke arah penggunaan tenaga solar sebagai sebahagian tenaga boleh diperbaharui, sekali gus mengurangkan beban peningkatan bil elektrik.

"Kita sudah buat pilot projek di mana tiga kawasan termasuk di Stesen Bandar Tasik Selatan dan Salak Tinggi.

"Pemasangan solar seterusnya ialah melibatkan perkhidmatan tren, yang menggunakan tenaga elektrik paling tinggi," katanya.

Pada November 2017, kerajaan ketika itu mengumumkan perjanjian konsesi bagi ERL dilanjutkan selama 30 tahun, iaitu sehingga 2059.

Lanjutan tempoh konsesi berkenaan dibuat selepas kerajaan menolak permintaan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) untuk menaikan tambang ERL sebanyak tiga kali.