KUALA LUMPUR:Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak melaporkan pertambahan 11 kes positif COVID-19 di negeri itu pada Ahad.

Enam kes dilaporkan di Kuching, tiga di Miri manakala dua kes di Bintulu.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad, tiga kes yang dilaporkan di Kuching melibatkan kontak kepada kes 866 yang dilaporkan pada 30 Oktober 2020.

“Kes melibatkan dua kontak rapat di tempat kerja dan satu kontak melibatkan ahli keluarga yang berumur dalam lingkungan 13 ke 20 tahun.

“Kesemua kes disahkan positif COVID-19 pada 31 Oktober 2020 dan kes dikategorikan sebagai jangkitan tempatan. Siasatan lanjut dan pengesanan kontak giat dijalankan,” kata kenyataan itu.

Selain itu, dua lagi kes di Kuching merupakan kontak rapat kepada Kluster Greenhill manakala satu kes dikesan menerusi saringan bergejala di fasiliti kesihatan di Kuching.

Di Miri, tiga kes dikesan melibatkan satu kes kontak rapat kepada kes 829 dari Kluster Greenhill, satu kes import B melibatkan perjalanan ke negeri Selangor dan satu kes dikesan menerusi saringan ke atas petugas kesihatan.

Manakala dua kes di Bintulu merupakan kes jangkitan luar daerah (kes import C) melibatkan suami isteri yang mempunyai kontak dengan kes 826 dari Kluster Greenhill.

“Kedua-dua kes mempunyai sejarah perjalanan ke Kuching pada 22 hingga 25 Oktober 2020 dan bertemu dengan kes 826.

“Mereka telah menjalani ujian saringan di Hospital Bintulu pada 31 Oktober 2020 dan disahkan positif pada hari sama,” tambah kenyataan sama.

Setakat ini, Sarawak masih merekodkan lima kluster aktif melibatkan Kluster Greenhill, Kluster Baki, Kluster Bah Arnab dan Kluster Seladah di Kuching serta Kluster Putra di Bintulu.