PUTRAJAYA: Kerajaan mengekalkan prosedur operasi standard (SOP) pelanjutan tempoh perintah pengawasan dan pemerhatian atau kuarantin selama  21 hari bagi kemasukan pengembara dari negara tertentu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata langkah itu diambil berikutan 50 peratus negara di dunia telah melaporkan penularan variant of concern (VOC) COVID-19 dalam komuniti.

Katanya, berdasarkan SOP sedia ada, semua pengembara perlu menjalani ujian PCR COVID-19 tiga hari sebelum tarikh berlepas, dan semasa ketibaan di pintu masuk antarabangsa negara.

Katanya, selain itu tempoh kuarantin wajib ke atas pengembara warganegara Malaysia dan warga asing yang diberi kebenaran masuk ke Malaysia dari India, Sri Lanka, Bangladesh, Nepal, dan Pakistan juga dikekalkan 21 hari di stesen kuarantin ditetapkan oleh kerajaan.

“Pengembara dari lain-lain negara dikehendaki untuk menjalani kuarantin selama 14 hari di pusat kuarantin yang diwartakan oleh kerajaan. Tempoh itu boleh dilanjutkan menjadi 21 hari jika ada keperluan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, ujian ulangan PCR COVID-19, kata Dr Noor Hisham lagi, akan dilakukan pada hari ke-10, sekiranya pengembara menjalani kuarantin bagi tempoh 14 hari.

Katanya, sekiranya keputusan ujian ulangan tersebut didapati negatif, pelepasan akan diberikan pada hari ke-14.

Beliau berkata, bagi pengembara yang menjalani tempoh kuarantin 21 hari pula, Dr Noor Hisham berkata, ujian ulangan PCR COVID-19 perlu dilakukan pada hari ke-18 dan jika didapati negatif, pelepasan akan diberikan pada hari ke-21

Jelasnya lagi, pelanjutan tempoh pengawasan ini adalah sangat penting bagi memastikan penularan jangkitan COVID-19 dari luar negara tidak berlaku terutamanya yang melibatkan VOC dan Variant Of Interest (VOI).

Dalam pada itu Dr Noor Hisham berkata, sebanyak enam kes varian baharu COVID-19 telah dilaporkan antara 20 hingga 22 Jun 2021, dengan kesemuanya adalah VOC iaitu lima kes varian Beta (B.1.351) dan satu kes varian Delta (B.1.617.2).

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan VOI adalah sebanyak 189 kes.

“Daripada jumlah yang dikesan tersebut, 173 kes adalah VOC manakala 16 kes adalah VOI,” katanya lagi.