KUALA LUMPUR :Tiga lagi kluster baharu COVID-19 dikesan di Kedah dan Terengganu dengan dua daripadanya melibatkan kes indeks warga Malaysia yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata, dua kluster di Kedah adalah Kluster Bah Sintok yang sudah menjangkiti 11 individu dan Kluster Jeram melibatkan tiga petugas kesihatan.

Sementara itu, satu lagi kluster di Terengganu adalah Kluster Bah Tanjung yang setakat ini menjangkiti enam individu.

"Kluster Bah Sintok dikenal pasti di Kubang Pasu, Kedah membabitkan seorang warga tempatan berusia 23 tahun (kes 12,072) yang baharu pulang dari Sabah pada 20 September lalu.

"Kes ini mempunyai gejala demam, selesema dan sakit kepala sejak 22 September lalu dan selepas ujian saringan COVID-19 yang dilakukan pada 2 Oktober lalu mendapati positif, individu itu dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah.

"Susulan itu, saringan kontak rapat telah dijalankan dan 11 lagi kes positif COVID-19 dikenal pasti dan kesemua mereka yang merupakan warganegara Malaysia itu dimasukkan ke hospital yang sama," katanya dalam kenyataan di sini, pada Isnin.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, Kluster Jeram juga dikenal pasti di Kubang Pasu dengan kes indeks adalah seorang wanita tempatan berusia 31 tahun (kes 11,211).

"Kes ini bergejala batuk dan sakit kepala sejak 25 September lalu dan mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Tunjang pada 28 September lalu, di mana saringan COVID-19 dijalankan.

"Wanita itu bagaimanapun disahkan positif pada 29 September lalu dan telah dimasukkan ke hospital sama," ujarnya.

Susulan itu, Noor Hisham memberitahu, KKM telah menjalankan saringan kontak rapat dan mengesan tiga kes positif ini melibatkan petugas kesihatan.

Beliau memberitahu, proses pembersihan dan nyah kuman dijalankan di fasiliti kesihatan yang berkaitan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kubang Pasu, Kedah.

Sementara itu, Noor Hisham menjelaskan, satu lagi kluster baharu iaitu Kluster Bah Tanjung dikesan di Kuala Nerus, Terengganu yang melibatkan seorang lelaki warga tempatan berusia 46 tahun (kes 11,477).

"Kes ini mempunyai sejarah perjalanan ke Semporna, Sabah dari 10 sehingga 27 September lalu.

"Beliau dilaporkan bergejala dengan sakit tekak dan demam sejak 28 September lalu dan dikesan positif COVID-19 pada 30 September lalu.

"Lelaki itu kini dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu, Kuala Berang untuk rawatan lanjut," tambahnya.

Ekoran itu katanya, KKM menjalankan saringan kontak rapat ke atas enam individu dan kesemua mereka disahkan positif.

Noor Hisham memberitahu, KKM masih menyiasat punca jangkitan kesemua ketiga-tiga kluster baharu itu.