KUALA LUMPUR: Pakar runding dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dilantik Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) bagi menjalankan kajian Dasar Air Negara dalam mengukuhkan dasar air yang lebih menyeluruh dan holistik.

Kenyataan UKM Pakarunding Sdn Bhd memaklumkan pada masa yang sama kajian itu juga adalah bagi mengukuhkan pengurusan sumber air, perkhidmatan bekalan air serta perkhidmatan pembetungan negara sedia ada.

Menurut kenyataan itu lagi, dasar itu akan memastikan jaminan bekalan air bagi kegunaan ekonomi serta domestik.

"Dasar ini juga akan mengandungi pelan tindakan serta sasaran yang akan menyasarkan senario semasa dan isu-isu berbangkit yang berkaitan dengan sektor air.

"Lima teras utama telah diperkenalkan dalam penyediaan dasar ini iaitu sumber air, perbekalan air, pembetungan, keterjaminan air serta kemampanan kewangan sektor air," menurut kenyataan itu pada Selasa.

Dalam kenyataan yang sama, Ketua Perunding kajian, Prof Datuk Mohd Ekhwan Toriman berkata, dasar itu nanti akan menjadi satu titik baharu dalam membantu terutamanya kerajaan Pusat dan Negeri untuk menyelesaikan pelbagai permasalahan dan konflik yang timbul dalam pengurusan air di Malaysia.

Setakat ini, katanya, hampir kesemua kerajaan negeri dan agensi-agensi kerajaan, pihak-pihak berkaitan pengurusan air serta pemain-pemain dalam industri berkaitan air di Malaysia telah dilibatkan untuk memberi maklum balas berkaitan.

"Libat urus dengan pelbagai pihak ini adalah penting memandangkan air merupakan salah satu sumber yang tidak ternilai dan setiap pihak mempunyai kepentingan terhadapnya.

"Justeru, adalah wajar bagi rakyat Malaysia menyedari bahawa meskipun negara sentiasa dilimpahi dengan nikmat air bersih dan sedia ada, kerajaan akan sentiasa berusaha memastikan perkhidmatan bekalan
air akan sentiasa seiring dengan peredaran semasa bagi menjamin masa hadapan negara tatkala dalam kita ingin mencapai status negara yang maju," katanya lagi.

Dasar Air Negara adalah keseinambungan kepada Dasar Sumber Air Negara yang telah dikeluarkan pada 2012.