JOHOR BAHRU: Banjir kilat di daerah ini pulih sepenuhnya dengan dua pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka pagi semalam, masing-masing ditutup pada pukul 12 tengah hari tadi.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan memaklumkan dua PPS itu terdiri daripada Dewan Muafakat Kampung Cahaya Baru yang menempatkan 253 mangsa daripada 66 keluarga, dan PPS SK Bukit Mutiara ysnh menempatkan 312 mangsa daripada 84 keluarga.

Menurut kenyataan itu, semua mangsa banjir kilat yang terjejas dari lima kampung yakni Kampung Paya Kenangan, Kampung Pasir Tebrau, Kampung Kangkar Tebrau, Kampung Sentosa Damai dan Kampung Sentosa Barat, dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing selepas air surut sepenuhnya hari ini.

Hujan lebat sejak Khamis lepas menyebabkan lima kampung di daerah itu dilanda banjir dengan beberapa sungai berada pada paras bahaya dan tahap waspada.

-- BERNAMA