KUALA LUMPUR: Penganjuran Pameran dan Persidangan Francais Antarabangsa Malaysia (FIM) 2023 menjangkakan potensi pelaburan francais berjumlah RM550 juta sepanjang program itu berlangsung mulai Khamis hingga 20 Mei.

Pengerusi Persatuan Francais Malaysia (MFA) Datuk Radzali Hassan berkata pihaknya juga menyasarkan seramai 15,000 pengunjung ke pameran berkenaan yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini.

Beliau berkata FIM 2023 ialah platform urus niaga francais yang kondusif buat usahawan tempatan dan antarabangsa dengan penyertaan pelbagai jenama francais dari Amerika Syarikat, Australia, Brunei, Jepun, Korea Selatan, Filipina, Singapura dan Taiwan.

"Selain syarikat francais, FIM turut mengumpulkan beberapa agensi berkaitan serta pembekal bagi mewujudkan ekosistem francais yang bersepadu," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran FIM 2023.

Majlis berkenaan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang turut dihadiri Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Radzali berkata FIM juga mengetengahkan beberapa aktiviti lain seperti persidangan francais, sesi taklimat francais yang dinamakan "franchise pit-stop", aktiviti edutainment atau didik hibur dan sesi padanan perniagaan dalam Franchise In-Buying Mission (FIBM).

"Sesi Pemadanan Perniagaan melalui FIBM antara francaisor dengan bakal pelabur turut diadakan pada semalam sempena FIM2023 dengan menampilkan bakal pelabur dari lapan negara iaitu India, Indonesia, Pakistan, Myanmar, Nepal, Nigeria, Maldives dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

"Objektif utama penganjurannya adalah untuk membantu jenama-jenama francais tempatan mengembangkan jenama mereka ke peringkat antarabangsa dan berhubung secara langsung dengan pelabur-pelabur asing yang berpotensi untuk membawa jenama ke negara luar," katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid ketika berucap berkata program FIM2023 anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dengan MFA itu turut memberi peluang kepada francaisor untuk mengembangkan jaringan perniagaan di peringkat global.

"Ia juga merupakan program paling berkesan untuk menyatukan francaisor di seluruh dunia melalui perkongsian pengalaman, idea dan pengetahuan bagi meningkatkan perkembangan industri francais Malaysia," katanya.

-- BERNAMA