Jawatan Ketua Negeri Puteri UMNO akan digugurkan sandainya tidak menunjukkan prestasi memberangsangkan terutama dalam misi menambah 50 peratus keahlian sedia ada di kawasan masing-masing.
Ketuanya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, langkah itu merupakan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) setiap Ketua Puteri dalam usaha menjenamakan semula sayap parti berkenaan.
"Tidak capai KPI? Kita gugurkan sahaja mereka. Kita mahu perubahan dan penambahan ahli dibuat secara agresif.
"Kita memfokuskan gerak kerja yang lebih tersusun dan memantapkan sayap parti ini ke tahap yang lebih tinggi," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pergerakan Puteri UMNO, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Dalam pada itu katanya, Pergerakan Puteri akan dijenamakan semula dan beberapa penambahbaikan akan dilakukan melibatkan beberapa biro di dalam Puteri sendiri.
"Antara langkah perubahan utama melibatkan rombakan 23 biro pergerakan itu yang akan dikecilkan kepada 15 biro dalam usaha untuk memantapkan dan memberi fokus kepada gerak kerja secara lebih tersusun.
"Bidang tugas 15 biro baharu yang akan diperkenalkan itu akan diumumkan selepas tamat Perhimpunan Agung UMNO Sabtu ini yang akan memulakan tugas masing-masing sejurus selepas perhimpunan ini.
"Sasaran kita adalah mencapai 500,000 ahli dalam tempoh tiga tahun lagi," katanya.
Jelasnya, setiap perancangan yang dinyatakan akan dijalankan secara berperingkat sehingga 2018.
"Kita buat perancangan penambahbaikan secara berperingkat menjelang Pilihan Raya Umum ke-14, kita akan bergerak lebih agresif terutama untuk menambah keahlian Puteri yang kini berjumlah 375,356 ahli dan menambah daftar pemilih di setiap negeri," katanya.
Dalam pada itu jelasnya, Puteri akan menggunakan formula 'dekat di hati ahli' dan bertemu golongan sasar untuk menerangkan polisi dan dasar kerajaan.
"Kita sedar ramai yang menerima pemahaman salah terhadap polisi kerajaan yang dimanipulasi pembangkang melalui media sosial.
"Kita akan memberi latihan dan pengetahuan untuk mereka menjadi pakar dalam menjawab isu ini kerana 75 peratus daripada ahli merupakan muka baharu," jelasnya.