ALOR SETAR: Cubaan dua lelaki warga Thailand menyorok 10 bungkusan plastik lutsinar berisi dadah jenis syabu di dalam tayar simpanan yang tergantung di bawah sebuah kenderaan Toyota Hilux untuk mengelak dikesan pihak berkuasa gagal apabila mereka ditahan polis, Khamis lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, cubaan itu berjaya dikesan sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kedah membuat risikan dan menahan kedua-dua lelaki terbabit di tepi jalan kawasan Kampung Baru Balai Pos, Jalan Sungai Korok, Ayer Hitam, jam 11 malam.

Beliau berkata, sebaik menyedari kehadiran polis, kedua-dua lelaki berusia 25 dan 41 tahun itu cuba melarikan diri namun berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan.

"Hasil pemeriksaan dalam kenderaan itu menemui dadah dalam tayar ganti yang tergantung di bahagian bawah tempat letak barang kenderaan itu.

"10 bungkusan plastik hijau bertulis 'Guanyinwang' setiap satunya mengandungi satu bungkusan plastik yang berisi dadah jenis syabu yang dianggarkan keseluruhan sebanyak lebih 10.6 kilogram (kg)," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini pada Selasa.

Fisol berkata, hasil soal siasat mendapati, ini kali kedua suspek pertama membawa masuk dadah berkenaan dengan menggunakan modus operandi yang sama.

Beliau berkata, dia meletakkan dadah berkenaan dalam tayar simpanan di bawah kenderaan pikap itu untuk mengelak dari dikesan pihak berkuasa namun kali ini dia berjaya ditahan.

"Kedua-dua suspek tidak bekerja dan tidak memiliki rekod jenayah sebelum ini.

"Nilai keseluruhan dadah yang dirampas adalah sebanyak RM349,800 dan sekiranya dadah ini terlepas, ia boleh digunakan oleh 20,000 penagih di negara ini," katanya.

Fisol berkata, dua suspek itu direman selama tujuh hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Beliau berkata, mereka ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu untuk tindakan lanjut.

"Kejayaan ini adalah hasil usaha JSJN Kedah dalam memastikan aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah berbahaya ini ditumpaskan," katanya.