KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan seorang lelaki yang dilaporkan hilang, dengan kali terakhir dilihat di Damansara Damai, Petaling Jaya pada 12 Disember lalu. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan M. Hussin Solllehhuddin Zolkifly berkata individu berkenaan dikenali sebagai Muhammad Saharuddin Mat, 29.

Jelas beliau, polis menerima laporan berhubung kehilangan lelaki berkenaan kira-kira jam 12.16 tengah hari, pada 13 Disember.

"Kali terakhir dilihat di rumah beralamat di Apartment Harmoni, Jalan PJU 10/4C, Damansara Damai pada 12 Disember lebih kurang jam 11.30 pagi.

"Mangsa berkulit sawo matang, berbadan kurus, tinggi, berambut pendek berwarna hitam dan memakai seluar panjang hitam serta baju-t biru gelap ketika keluar dari rumah," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau menambah orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes tersebut diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

"Orang ramai juga boleh berhubung terus dengan bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-7966222," katanya.

Sementara itu,  Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid dalam respons ringkas kepada Astro AWANI memaklumkan, kehilangan individu berkenaan tiada kaitan dengan kes siasatan pembunuhan seorang kanak-kanak, baru-baru ini.