KUALA LUMPUR: Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata menyifatkan kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Sanusi Md Nor mengenai kedudukan negeri Pulau Pinang dan Kedah sebagai bermotif politik semata-mata.

Jelasnya, beliau tidak menafikan fakta sejarah mengenai kedudukan kedua-dua negeri tersebut, bahkan beliau juga tidak menafikan fakta perundangan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Sebenarnya saya melihat isu yang dibangkitkan oleh Menteri Besar Kedah lebih kepada politik menjelang pilihan raya. Walaupun beliau memfokuskan kepada sejarah bahawa pada tahun-tahun silam tersebut, Pulau Pinang adalah milik Kedah.

“Kita tidak menafikan fakta sejarah ini. Kalau lihat lebih jauh kita boleh kata apa-apapun. Tetapi yang membezakan fakta sejarah dan kedudukan negeri Pulau Pinang atau setiap negeri dalam Persekutuan Malaysia ini, setiap negeri adalah negeri yang diberi pengiktirafan kedudukan negeri berdaulat dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Isnin.

Kedah-Pulau Pinang: Tidak nafi fakta sejarah, tidak juga nafi fakta Perlembagaan 


 
Chow merujuk kepada penubuhan Persekutuan Tanah Melayu yang melibatkan  Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu dan Negeri-negeri Selat.

Seterusnya persekutuan ini turut disertai oleh Sabah dan Sarawak yang membawa kepada pembentukan Persekutuan Malaysia.

“Itu sebahagian daripada sejarah juga, sejarah undang-undang, sejarah perlembagaan. Saya juga boleh sebut ini sejarah juga yang tidak boleh kita anggap ia bukan fakta yang perlu dihormati dan setiap negeri mempunyai kedudukan yang sama dalam persekutuan. Hakikat ini perlu dihormati dan diterima,” katanya lagi.