IPOH: Kerja-kerja pembaikan kabel dan komponen lampu limpah di Stadium Perak yang dipecah masuk 14 Februari lalu, akan siap sepenuhnya malam ini, kata Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.

Menurut Rumaizi, proses penggantian tersebut sedang dan masih dilaksanakan, selain sudah siap 70 peratus sehingga tengah hari ini.

Justeru, beliau optimis fasiliti tersebut dapat digunakan seperti sedia kala dalam saingan Liga Super, Perak FC menentang Kedah FC pada 25 Februari ini (Sabtu).

"Kita janji dengan XOX Perak, sebelum 25 Februari akan siap (kerja pembaikan), dalam pada itu kita sudah lantik tiga syarikat untuk buat kerja itu secara serentak.

"Insya-Allah, tiada masalah rasanya 25 Februari boleh adakan perlawanan malam itu.

"Malam ini kita akan selesaikan semua kerja pembaikan 100 peratus, jadi esok pagi kita akan uji segala kelengkapan tersebut.

"Malam esok kalau sesiapa hendak datang tengok, kita akan buat ujian untuk pastikan sistem lampu limpah itu boleh digunakan,” kata Rumaizi.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Angkat Sumpah Ahli Majlis bagi tempoh 16 Februari 2023 hingga 15 Februari 2024 di Dewan Mesyuarat Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), di sini pada Rabu.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Sandrea Ng Shy Ching.

Sementara itu, ditanya sama ada terdapat unsur sabotaj berkenaan kes tersebut, Rumaizi menyerahkan perkara itu kepada polis.

"Saya serahkan pada pihak polis, sebab rasanya selama ini tidak pernah berlaku di Perak begitu. Tiba-tiba jadi begini rasa pelik pula," katanya lagi.

Jumaat lalu, MBI mengesahkan berlaku kecurian kabel dan komponen lampu limpah di Stadium Perak seperti yang tular dalam media sosial.

Menurut MBI, kejadian itu disedari pada Selasa lalu ketika pihaknya membuat kerja-kerja selenggara lampu limpah bagi persiapan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.