PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) melancarkan inisiatif baharu, Label Ubat Mesra OKU Penglihatan yang dicetak dalam tulisan Braille.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, dengan adanya label itu, ia akan memudahkan orang kurang upaya (OKU) penglihatan mendapat maklumat yang bukan sahaja cepat tetapi tepat mengenai ubat dan preskripsi ke atasnya.

"Golongan OKU sentiasa menjadi kumpulan keutamaan bagi KKM. Kita sentiasa memikirkan kaedah-kaedah baharu bagi memudahkan dan membantu rakan-rakan OKU dalam mencapai perkhidmatan kesihatan yang terbaik.

"Buat permulaan, inisiatif ini akan dilaksanakan di 250 klinik kesihatan di seluruh negara yang akan memanfaatkan seramai 55,000 OKU Penglihatan," katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2023 KKM, di sini pada Jumaat.

Zaliha memberitahu, menerusi inisiatif itu, label ubat yang diberikan kepada pesakit OKU penglihatan akan mempunyai tulisan Braille.

"Ia adalah bagi menjelaskan cara pengambilan atau dos ubat (misalnya dua biji ubat, tiga kali sehari).

"Selain itu, label ini turut mempunyai indikasi ubat yang menerangkan kegunaan ubat (misalnya demam, batuk atau selesema)," katanya.

Beliau berkata, Malaysia merupakan antara negara terawal di Asia yang memperkenalkan label ubat yang mesra OKU penglihatan.

"Langkah ini selaras dengan matlamat di bawah Malaysian Patient Safety Goals 2.0 - Medication Safety: Medication Without Harm," ujarnya lagi.