Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang menyiasat dua kes melibatkan orang kenamaan yang disyaki dijangkiti COVID-19.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, KKM merujuk kepada berita yang tular di media sosial berkenaan dua orang kenamaan yang dikaitkan dengan pesakit kes ke-26 COVID-19 di negara ini.

“Perkara ini sedang disiasat dan diambil tindakan oleh pihak KKM,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Bagaimanapun, Noor Hisham tidak mendedahkan nama dua kenamaan terbabit.

Namun, mereka dipercayai merupakan bekas menteri dan timbalannya yang dikaitkan dengan seorang pekerja Khazanah Nasional Berhad (kes ke-26).

BACA: COVID-19: Ahli Lembaga Pengarah UDA disahkan positif

Kakitangan Khazanah tersebut dikatakan mempunyai sejarah perjalanan ke Shanghai, China sekitar pertengahan Januari lalu.

Kata Noor Hisham lagi, lima kontak kepada kes ke-26 telah disahkan negatif.

“Lima kontak rapat keluarga, seorang pembantu khasnya dan seorang kakitangan kesihatan swasta telah disahkan negatif COVID-19.

“Siasatan dan pengesanan kontak rapat masih terus dijalankan,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, beliau berkata tiada kes baharu yang dilaporkan setakat hari ini (2 Mac).

"Jumlah kumulatif kes Covid-19 sehingga hari ini kekal 29 kes, iaitu 17 orang dalam kalangan kes Patient Under Investigation (PUI), 10 orang dalam kalangan kontak rapat dan dua dalam kalangan rakyat Malaysia yang dibawa pulang dengan Misi Bantuan Kemanusiaan.

"Daripada jumlah tersebut, 15 orang ialah warganegara China, 11 orang warganegara Malaysia dan tiga orang dari Amerika Syarikat, Jepun dan Itali," tambahnya.

Daripada 29 kes positif tersebut, sebanyak 22 kes telah sembuh dan dibenarkan discaj manakala tujuh kes lagi masih menerima rawatan di wad isolasi di beberapa hospital di Lembah Klang.

Kesemua kes berada dalam keadaan stabil.