LANGKAWI:Cubaan dua lelaki menyeludup syabu seberat 56.5 kilogram (kg) bernilai RM11.3 juta dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam Operasi 'Eagle Eye' di Tanjung Kemarong, Langkawi.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah, berkata dadah berkenaan cuba diseludup dari Thailand bagi pasaran gelap antarabangsa dengan menjadikan pulau peranginan itu sebagai transit.

Menurut beliau, dalam operasi jam 1 pagi Jumaat itu, Bot Kilat Maritim Malaysia mengesan pergerakan mencurigakan sebuah bot kayu dinaiki dua suspek di kawasan perairan sempadan Thailand berdekatan Tanjung Kemarong.

"Pasukan kita kemudian mengejar bot berkenaan dan mengambil masa 40 minit untuk menghampirinya. Bagaimanapun, dua suspek terbabit yang dipercayai warga Thailand nekad terjun ke laut.

"Pemeriksaan di atas bot tersebut kemudian menemui dua beg hitam yang disorok di bawah pukat dan kayu di bahagian hadapan bot. Beg itu kemudian didapati mengandungi dadah dipercayai jenis syabu," katanya di sini, pada Ahad.

Katanya, dadah dan bot itu kemudian dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Bukit Malut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 selain Seksyen 307 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Rampasan itu, katanya menjadi rampasan terbesar tahun ini.

Mengulas lanjut, Mohd Zawawi berkata, modus operandi anggota sindiket terbabit ialah menyamar sebagai nelayan ketika melakukan penghantaran dadah sama ada di perairan Malaysia atau Thailand.

Katanya, mereka juga menggunakan bot yang mempunyai enjin berkapasiti besar yang boleh dipandu laju bagi melarikan diri apabila dikejar pihak berkuasa.

Mengenai suspek yang terjun ke laut, katanya operasi mencari dan menyelamat (SAR) sudah diaktifkan namun sehingga kini belum menemui kedua-dua mereka.