PENDANG:Tindakan seorang lelaki menyewa sebuah lori menggunakan wang pengeluaran i-Sinar untuk menyeludup daun ketum membawa padah apabila dia ditahan polis.

Lelaki berusia 33 tahun itu ditahan jam 12.45 tengah malam Selasa oleh sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Polis Kubur Panjang yang melakukan rondaan cegah jenayah selepas mendapati lori itu dipandu dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, hasil pemeriksaan dalam lori itu menemui 80 karung plastik yang  mengandungi daun ketum.

Beliau berkata, lelaki itu sebelum ini bekerja sebagai pemandu bas ekspres namun diberhentikan berikutan penularan COVID-19.

Katanya, lelaki itu kemudian dipercayai menyewa lori berkenaan dengan harga RM2,500 sebulan menggunakan wang pengeluaran i-Sinar yang diperolehinya.

“Suspek dipercayai diupah oleh seorang lelaki lain untuk membawa daun ketum itu dari Padang Terap, Kuala Nerang ke Seremban, Negeri Sembilan dengan bayaran RM2,000 untuk satu trip perjalanan.

"Suspek sudah berkahwin dan mempunyai tiga anak itu melakukan kegiatan itu seorang diri," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang, hari ini.

Arriz Sham berkata, modus operandi yang dilakukan suspek adalah dengan menggunakan jalan kampung bagi mengelak daripada ditahan.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati suspek pertama kali melakukan kegiatan itu dan mula menyewa lori itu pada 9 Januari lalu sebaik memperoleh wang i-Sinar.

Katanya, nilai keseluruhan daun ketum yang dirampas adalah sebanyak RM22,000.

"Suspek yang berasal dari Sungai Petani ditahan untuk membantu siasatan dan direman empat hari. Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya.