KUALA LUMPUR: Limitasi dalam Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) menyebabkan agak sukar untuk kerajaan mengambil tindakan perundangan seperti pelaksanaan cukai dan lesen, terhadap syarikat yang menawarkan pakej perkhidmatan dan pelancongan secara dalam talian, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata, perniagaan yang menawarkan aktiviti pelancongan kini bukan seperti dahulu, di mana ia memerlukan mereka mempunyai premis serta kakitangan sokongan untuk pelanggan hadir secara fizikal.

Atas sebab itu, beliau berkata, MOTAC mengambil pendekatan menyokong aktiviti yang merangsang industri pelancongan negara dan mengadakan libat urus agar syarikat berkenaan membuka anak syarikat untuk dilesenkan di bawah akta tersebut.

“Agensi pelancongan dalam talian (OTA) terkemuka (yang disebut) dalam soalan itu adalah syarikat milikan pegangan asing sepenuhnya, berpangkalan di luar negara.

"Walaupun ia termaktub dalam Akta 482, namun sifat perniagaan mereka beroperasi secara dalam talian tanpa buka pejabat atau premis menyukarkan MOTAC ambil tindakan perundangan.

“(Jadi) MOTAC lebih cenderung sokong aktiviti yang rangsang aktiviti pelancongan lebih berkembang. Atas dasar ini, MOTAC telah mengadakan libat urus dengan OTA antarabangsa yang menawarkan pakej perkhidmatan pelancongan untuk mematuhi Akta 482,” katanya lagi.

Beliau berkata, hasil libat urus tersebut, beberapa OTA asing telah membuka anak syarikat di negara ini dan dilesenkan MOTAC, seperti Klook Travel Technology Sdn Bhd, Traveloka Sdn Bhd dan BEX Travel Malaysia Sdn Bhd.

Nancy berkata demikian ketika menjawab soalan Larry Sng Wei Shien (PBM-Julau) yang ingin mengetahui mengapa agensi terkemuka seperti Agoda, Trivago, Traveloka dan Booking tidak berdaftar biarpun mengendalikan perniagaan di Malaysia.

Dalam pada itu, beliau berkata, MOTAC juga kini sedang menyediakan garis panduan khusus perniagaan Tour Operating Business and Travel Agency Business (TOBTAB) untuk agensi tersebut.

“Garis Panduan Syarikat Perniagaan Pengendalian Agensi Pelancongan Dan Agensi Pengembaraan (TOBTAB) Yang Menjalankan Atau Mengendalikan Atau Menganjurkan Perniagaan Dalam Talian telah dibangunkan oleh MOTAC untuk melesenkan syarikat yang menawarkan pakej pelancongan di negara ini secara atas talian.

“Pelaksanaan garis panduan ini adalah langkah awal MOTAC untuk memperkemas dan memperkukuh kawal selia aktiviti penawaran pakej pelancongan di negara ini secara atas talian,” katanya lagi.