JOHOR BAHRU:Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Johor menahan satu konsainan yang didapati mempunyai 2,080 kilogram keju di dalamnya di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini pada Jumaat.

Pengarahnya, Nur Afifah A Rahman seperti dilaporkan Sinar Harian berkata, keju yang datang dari New Zealand itu tidak mempunyai sijil kesihatan sah dari negara asal.

Menurutnya, jumlah rampasan semua keju tersebut dianggarkan bernilai RM39,712.

“Anggota MAQIS mendapati keju seberat 2,080 kilogram itu tidak mempunyai sijil kesihatan sah yang diperlukan MAQIS.

“Sehubungan itu barangan dagangan berkenaan dirampas manakala pemandu yang berusia 39 tahun dilepaskan selepas keterangannya diambil,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Tambahnya, semua keju tersebut difahamkan bakal dijual dan digunakan di pasaran tempatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 15 (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) kerana tidak mematuhi syarat import.

“Jika sabit kesalahan pihak bertanggungjawab boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya,” ujarnya.

BACA: MAQIS rampas 61,932 kilogram ayam sejuk beku dari Thailand