KUALA LUMPUR: Kerajaan, khususnya Menteri Kewangan Tengku, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz tidak perlu takut menggunakan kuasa ke atas Bank Negara Malaysia (BNM) bagi meneruskan pemberian moratorium untuk golongan yang terkesan.

Presiden Dewan Perdagangan dan Industri ASEAN, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, pemberian moratorium kepada golongan bersasar seperti B40, M40 dan peniaga kecil-kecilan tidak akan membuatkan bank dan institusi kewangan gulung tikar.

Tegasnya lagi, dengan pelaksanaan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021, ia memberi kuasa yang cukup luas kepada kerajaan untuk meminda undang-undang atau statut bagi mengarahkan moratorium dilakukan.

“Saya menjadi hairan mengapa pihak kerajaan tidak boleh melalui Bank Negara, mengarahkan supaya bank atau institusi kewangan untuk melaksanakan moratorium kepada golongan B40 dan M40?

"Bank bank ini tidak akan gulung tikar dengan memberi moratorium. Dan Kementerian Kewangan yang mengawal Bank Negara juga mempunyai kuasa penuh ke atas bank negara. Bank negara mempunyai kuasa penuh ke atas bank-bank komersial dan institusi kewangan, tetapi tidak mengambil tindakan,” tegas Sohaimi.

BACA: Moratorium: Kini bola di tangan Bank Negara Malaysia - Penganalisis Ekonomi


Moratorium | Kini bola ditangan Bank Negara Malaysia

Sebelum ini pemerhati dan penganalisis ekonomi berpendapat, Perintah Kawalan Pergerakan Penuh (FMCO) yang bermula 1 Jun lepas, dijangka akan berterusan selepas 28 Jun ini, memandangkan jumlah kes harian yang masih berada dalam lingkungan 5,000 ke 6,000 kes.

Dengan lanjutan FMCO, mereka berkata, kerajaan perlu mempertimbangkan untuk bantuan kewangan terus kepada masyarakat, seperti i-Sinar 2.0, moratorium serta lain-lain yang dirasakan perlu bagi meringankan beban kepada golongan B40 dan M40.

Bagaimanapun, Tengku Zafrul pada Sabtu berkata, kerajaan bakal mengumumkan mengumumkan bantuan kewangan tidak lama lagi.

Mengulas lanjut, Sohaimi berkata, Seksyen 6, 7, dan 13 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, memberikan kuasa kepada Bank Negara untuk menetapkan apa apa polisi kewangan untuk dijalankan bank atau institusi kewangan.

Beliau berkata, rakyat berada dalam keadaan yang amat tertekan dengan impak COVID-19, namun sedaya-upaya mengikuti apa jua prosedur operasi standard (SOP) yang kerajaan tetapkan.

Namun, dakwanya lagi, agak kerap melihat dasar dan polisi berkaitan oleh kerajaan yang tidak konsisten, malahan berat sebelah atau ‘double standard’.

“Kita pun jadi hairan, dasar dan polisi dibuat oleh kerajaan ini agak tidak konsisten, tidak stabil dan adakalanya tidak terpakai untuk semua lapisan.

“Kadang-kadang double standard pun ada. Kilang besar diizinkan untuk teruskan operasi, peniaga pasar malam, pasar pagi, peniaga kecil-kecilan, yang mendapat gaji harian perlu direhatkan dan moratorium tidak dilaksanakan sepenuhnya,” ujar Sohaimi.

Sehubungan itu, Sohaimi menegaskan, kerajaan perlu gunakan apa sahaja cara termasuk pindaan melalui Ordinan Darurat jika perlu, bagi membolehkan nasib rakyat, khususnya B40 dan M40 terus terbela dalam keadaan yang amat mencabar ketika ini.