Modul Tabung Haji (TH) dalam menguruskan dana dan latihan kepada jemaah menarik minat pelbagai negara untuk dicontohi.

Pengerusi TaHa Alam Sdn Bhd, Tan Sri Hashim Meon berkata, pengalaman 50 tahun TH dalam mengurus jemaah selama ini mendapat reaksi positif daripada negara-negara luar.

"Antara negara yang menyatakan minat mereka untuk menggunakan modul TH adalam Maldives, Senegal, Nigeria Filipina, Australia, Kazakhtan dan Tatarstan.

"TH menjadi contoh kepada negara berkenaan untuk mengguna pakai modul dan sistem kendalian dalam menguruskan ibadah umrah dan haji," katanya.

TaHa Alam ialah syarikat usaha sama milik Perbadanan Islam bagi Pembangunan Sektor Swasta (ICD), cabang sektor swasta Bank Pembangunan Islam (IDB) dan Theta Edge Berhad, anak syarikat TH, yang ditubuhkan pada 2011 bagi menawarkan khidmat nasihat dan perundingan kepada negara yang berminat menggerakkan skim simpanan haji dan mengurus syarikat pengurusan haji mereka.

Jelas Hashim, untuk jangka pendek, pihaknya akan menawarkan perkhidmatan rundingan, latihan, pengurusan dana serta logistik jemaah haji.

"Buat masa ini, kita juga menumpukan kepada 56 negara Islam anggota IDB dengan giat mempromosikan untuk membantu menyediakan khidmat nasihat pengurusan jemaah umrah dan haji.

"Mereka juga sedia maklum bahawa modul TH dilihat dapat memberi manfaat kepada jemaah pada masa akan datang seperti lebih menjimatkan kos dan menguruskan ibadah umrah dan haji secara lebih sistematik," ujarnya.

Bagi tempoh jangka panjang pula, TaHa Alam berharap dapat membantu negara berkenaan mewujudkan organisasi pengurusan haji yang sama seperti TH.

Kumpulan pertama daripada 22,320 jemaah haji Malaysia akan berangkat ke Tanah Suci pada 27 Ogos ini sementara penerbangan terakhir pada 27 September ini.

Sebanyak 64 penerbangan pergi dan balik disediakan untuk jemaah haji Malaysia pada musim ini.