TAIPING: Tindakan mencurigakan seorang pemandu lori yang mengisi minyak berulang kali di beberapa stesen minyak, akhirnya membongkarkan aktiviti penyelewengan diesel di stesen minyak Batu 2 1/2, Jalan Simpang, di sini pada Selasa.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Perak (KPDNHEP), Saifullizan Kamarul Zaman berkata, operasi bermula jam 4.30 petang itu adalah hasil pemantauan harian yang dijalankan oleh anggota penguat kuasa di stesen minyak sekitar Taiping.

Katanya, pemandu lori berusia 28 tahun itu tidak mempunyai sebarang dokumen atau permit yang sah bagi membeli minyak diesel.

"Tindakan bermula apabila pemerhatian anggota penguat kuasa KPDNHEP Taiping mendapati sebuah lori membuat pengisian berulang kali di beberapa stesen minyak di sekitar kawasan pemantauan.

"Mengesyaki berlakunya penyelewengan, pemeriksaan telah dilakukan ke atas lori tersebut.

"Terdapat sebuah lori bertutup kanvas sedang mengisi minyak diesel di stesen minyak tersebut dan pemeriksaan lanjut mendapati terdapat enam tangki fiber yang disyaki berisi minyak diesel disimpan di dalam lori itu.

"Pemeriksaan lanjut juga mendapati saluran tangki asal minyak lori terbabit telah diubah suai salurannya dan disambungkan dengan enam tangki plastik berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Justeru, katanya, pasukan pegawai KPDNHEP Taiping telah mengambil tindakan dengan menyita hampir 2,000 liter minyak diesel dari lori tersebut.

Kesemua barang rampasan itu dianggarkan berjumlah RM77,300 dan pemandu lori telah ditahan untuk diambil keterangan. 

Foto KPDNHEP Perak

"Pemandu kenderaan ini tidak mempunyai sebarang kebenaran bertulis untuk membeli barang kawalan petrol/diesel dalam kuantiti banyak daripada Pengawal Bekalan Malaysia.

"Terdapat enam tangki fiber diletakkan di bahagian belakang lori berkenaan dan dianggarkan hampir 2,000 liter disyaki diesel telah diisi ke dalam tangki-tangki berkenaan.

"Disyaki lori itu mengisi diesel di beberapa stesen minyak sekitar Taiping serta mengumpul di satu kawasan di Pulau Pinang sebelum dijual kepada pihak tertentu," katanya lagi.

Saifullizan berkata kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Beliau turut memberitahu Kementerian melarang pembelian diesel dan petrol menggunakan tong, botol plastik atau mana-mana bekas melebihi 20 liter tanpa kebenaran Pegawai Bekalan.

Orang ramai dan pengusaha stesen minyak diingatkan bahawa mana-mana pihak yang hendak membeli petrol dan diesel bagi tujuan selain daripada mengisi minyak ke dalam kenderaan, mereka perlu mendapatkan permit khas yang dikeluarkan oleh KPDNHEP.