KUALA LUMPUR: Selaras dengan prinsip ketelusan dan tadbir urus yang baik, Jabatan Audit Negara membangunkan sistem Pemuka Ketua Audit Negara (AGD) bagi membolehkan jabatan kerajaan terlibat serta orang awam memantau isu dan status tindakan terkini perkara yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN).

Sistem AGD boleh diakses oleh semua termasuk pihak bekepentingan untuk mengetahui kedudukan dan tindakan terkini bagi isu LKAN secara masa nyata dan setiap isu dikategorikan mengikut tiga warna iaitu merah (tiada maklum balas atau maklum balas tidak menjawab isu yang dibangkitkan), kuning (dalam tindakan) dan hijau (tindakan telah selesai diambil).

Sistem berkenaan turut memaparkan jumlah ketirisan yang berlaku dalam perbelanjaan dana awam.

Menurut data dipamerkan dalam sistem itu setakat 30 Sept lepas, sebanyak 94 (2.4 peratus) daripada 3,922 isu yang masih dalam tindakan manakala baki berjaya diselesaikan melibatkan LKAN 2015 hingga 2021.

Menurut LKAN, sistem AGD berjaya membantu kementerian atau jabatan dan agensi Kerajaan Persekutuan untuk menyalurkan maklumat dengan pantas mengenai tindakan yang sedang atau telah diambil oleh jabatan dan kementerian terlibat dengan mengemas kini maklum balas secara dalam talian.

"Hal ini membuktikan komitmen dan keprihatinan kerajaan dalam menjelaskan kedudukan terkini isu LKAN serta tindakan yang diambil untuk makluman semua pihak berkepentingan berkaitan dan pihak awam secara keseluruhannya.

"Sejak 2012, status tindakan bagi isu LKAN dipaparkan melalui sistem AGD. Paparan secara dalam talian ini menjadi pencetus bagi mempercepatkan penyelesaian isu audit yang dibangkitkan dalam LKAN oleh kementerian atau jabatan atau agensi kerajaan Persekutuan.

"Ia sekali gus dapat memperbaiki prestasi tadbir urus penyampaian sektor awam secara keseluruhannya," menurut laporan itu.

Sistem berkenaan boleh dilayari di laman sesawang https://agdashboard.audit.gov.my/

-- BERNAMA